
Hasrat BYD untuk memecahkan benteng kelajuan maksimum 500kmj berdepan ujian apabila jentera supercar elektrik, Yangwang U9 Xtreme terbabit dalam kemalangan ngeri sewaktu sesi ujian pemanduan di litar tertutup di China.
Supercar eksklusif yang dianggarkan bernilai USD 3 juta (RM12.2 juta) itu mengalami kerosakan teruk selepas terbabas sebelum merempuh penghalang litar.
Impak rempuhan yang kuat itu menyebabkan struktur gandar belakang kenderaan terpelanting lalu tercabut sepenuhnya dari rangka badan jentera.
Meskipun bahagian luar jentera elektrik itu musnah teruk, pemandunya dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Struktur sel keselamatan kabin yang kukuh membolehkan pemandu keluar sendiri daripada kenderaan sejurus insiden berlaku.

Yangwang U9 Xtreme dibina khusus sebagai sebuah kereta sukan empat motor di atas platform karbida silikon 1,200V dengan kuasa maksimum mencecah 2,977hp.
Nisbah kuasa-kepada-berat jentera itu mencatatkan angka 895 kW atau 1,200hp bagi setiap tan.
Bagi menyokong daya tujahan terbabit, U9 Xtreme dilengkapi pek bateri 80 kWh bersama teknologi pelepasan cas pantas 30C.
Sebelum ini, kereta sukan berkenaan melakar sejarah sebagai antara kereta pengeluaran paling pantas di dunia selepas berjaya merekodkan kelajuan maksimum 496.22kmj semasa ujian rasmi di Litar Ujian Automotive Testing Papenburg, Jerman.

Pengurusan tertinggi BYD menerusi Naib Presiden Stella Li dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Yangwang, Hu Xiaoqing mengesahkan Yangwang U9 Xtreme dijadualkan bakal membuat ujian percubaan rasmi bagi menembus ambang kelajuan 500 kmj di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dari segi spesifikasi luaran, jentera binaan khas itu dipadankan dengan rim 20 inci ima-jejari yang dibalut tayar semi-slick GitiSport e·Gtr2 Pro, lengkap bersama kit aerodinamik khas serta wing belakang bersaiz besar bagi mengimbangi downforce.
Walaupun berdepan insiden kemalangan teruk dalam sesi ujian tempatan itu, percubaan BYD untuk mencipta rekod dunia baharu melepasi 500 kmj di UAE dijangka bakal diteruskan mengikut perancangan.




























