Utama Berita Automotif Mazda kuburkan model ini walau jualan 23,400 setahun

Mazda kuburkan model ini walau jualan 23,400 setahun

5

Jarang sekali berlaku dalam industri automotif global sebuah syarikat pengeluar kenderaan bertindak menamatkan pengeluaran model yang masih merekodkan prestasi jualan yang cemerlang. 

Namun, itulah realiti pahit yang menimpa hatchback Mazda 2 yang dinobatkan sebagai model kedua terlaris jenama itu di pasaran Jepun dengan rekod jualan mencapai 23,400 unit pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan industri, Mazda 2 generasi semasa mula membuat kemunculan sulung pada 2014 manakala model kembar yang turut menggunakan platform yang sama, Mazda CX-3 menyusul setahun kemudian.

Sejak itu, kedua-dua model segmen B tersebut dijual seiring di rangkaian pengedar Mazda seluruh Jepun dan menjadi tulang belakang volum jualan tinggi syarikat.

Sepanjang tempoh lebih sedekad di pasaran, kedua-dua model itu tidak menerima rombakan generasi baharu yang besar, sebaliknya hanya bergantung pada beberapa siri penambahbaikan kosmetik yang kecil.

Dari segi kewangan korporat, Mazda 2 dan CX-3 merupakan model pelaburan rendah yang murah untuk dikekalkan dalam barisan pengeluaran dan konsisten menjana pulangan volum jualan yang lumayan.

Walaupun angka jualan masih membanggakan, landskap korporat Mazda memaksa satu keputusan sukar dilakukan. Menurut sumber dalaman korporat, perancangan penamatan pengeluaran telah digerakkan secara berperingkat:

  • Mazda CX-3: Dilaporkan telah keluar dari barisan pengeluaran lebih awal pada tahun ini.
  • Mazda 2: Menyusul tidak lama selepas itu yang mana tarikh penamatan pengeluarannya dipercayai sekitar Jun hingga Ogos tahun ini.

Setakat ini, kedua-dua garis masa sasaran tersebut telah dicapai sepenuhnya, menandakan penutupan rasmi fasa pemasangan dua model legenda yang telah berkhidmat lebih 10 tahun kepada peminat jenama tersebut.

Langkah berani terbabit memberi bayangan bahawa Mazda kini bersedia mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan platform kenderaan generasi baharu yang bercirikan elektrifikasi dan teknologi moden selaras dengan arus pasaran global yang kian pantas berubah.

Pengeluaran Luar Negara Diteruskan

Meskipun pengeluaran domestik Jepun telah berakhir untuk Mazda 2 dan CX-3, ia masih dikeluarkan dan dijual di pasaran luar negara.

Malah, kedua-duanya masih dijual di Jepun sementara menunggu inventori pengedar habis sepenuhnya.

Sementara, Thailand dan Mexico akan meneruskan warisan kedua-dua model berkenaan susulan masih memiliki pasaran yang sihat untuk model tersebut.

Tetapi mengapa ia dikeluarkan dari Jepun?. Salah satu teori utama ialah faktor usia yang dicampur dengan keinginan Mazda untuk bergerak ke arah hala tuju baharu.

Masa Depan Kereta Kecil Mazda

Tahun lalu, Mazda mendedahkan konsep Vision-X Compact di Japan Mobility Show. Ia menarik perhatian positif walaupun sesetengah pengkritik menyuarakan keraguan terhadap kebergantungan tinggi kereta itu pada teknologi AI.

Namun, tanpa mempedulikan golongan skeptikal, model konsep tersebut mungkin menjadi bayangan kepada bentuk masa depan kereta kecil yang diimpikan oleh Mazda.

Vision-X memiliki dimensi comel bahkan lebih kecil berbanding Mazda 2 dengan panjang 3,825 mm, lebar (1,795 mm) dan tinggi (1,470 mm) serta jarak 2,515 mm. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here