
Bermula dengan satu produk yang gagal mencuri tumpuan (MX-30), Mazda kini mempunyai barisan produk EV yang cukup menarik perhatian, iaitu 6e (EZ-6) dan CX-6e (EZ-60).
Kedua-dua model tersebut dibangunkan menerusi kerjasama dengan Changan di China, di mana 6e dibina berasaskan Deepal L07 manakala CX-6e pula berasaskan Deepal S07.
Melihatkan kepada permintaan EV yang meningkat, Mazda akan meneruskan kerjasama dengan Changan berkenaan model lain yang boleh dijadikan sebagai asas EV untuk jenama Jepun itu.
Menurut Vinesh Bhindi, pengarah urusan Mazda Australia memberitahu Go Auto, “Pelanggan melihat EV sebagai satu pilihan yang praktikal dan sesuai dengan gaya hidup.
“Perkara itu berkemungkinan besar didorong oleh faktor bekalan dan harga bahan api (meningkat), kerana terdapat impak yang besar terhadap ekonomi.”
Jelasnya lagi, kerjasama 20 tahun dengan Changan Automotive di Nanjing merupakan satu kerjasama kuat dan pihaknya sudah pun berbincang untuk meneroka peluang lain.
Bhindi tidak menjelaskan model baharu yang bakal digunakan Mazda sebagai EV baharu.
Antara kemungkinan yang ada ialah SUV elektrik lebih kecil daripada CX-6e yang mengambil asas daripada Deepal S05 yang sudah dijual di China sejak dua tahun lalu.
Deepal S05 merupakan SUV kompak yang menggunakan platform EPA1 yang sama seperti S07, dan boleh didapati dalam versi elektrik (jarak gerak cecah 510 km), atau versi penambah jarak REEV dengan jarak pemanduan keseluruhan 1,234 km.
Satu perkara yang anda harus tahu ialah Mazda membina 6e dan CX-6e di kilang yang berbeza dan menggunakan pasukan kejuruteraan dari Jepun dan Eropah walaupun ia menggunakan asas daripada model Changan.
Dengan memanfaatkan kerjasama dengan Changan, ia dilihat sebagai satu jalan yang lebih mudah untuk Mazda jika syarikat Jepun itu serius mahu meningkatkan jualan EV mereka.






