Utama Berita Automotif Kerajaan luluskan Program Sukuk Kelima MRL Bernilai RM19.05 bilion bagi ECRL

Kerajaan luluskan Program Sukuk Kelima MRL Bernilai RM19.05 bilion bagi ECRL

1

Kerajaan telah meluluskan Program Sukuk Kelima MRL bernilai RM19.05 bilion bagi menyokong pembiayaan pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata sukuk di bawah program ini akan diterbitkan sebagai Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan.

“Langkah ini meneruskan usaha melalui Program Sukuk SDG Ketiga dan Keempat MRL, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pembiayaan infrastruktur yang mampan,” katanya pada Majlis Inisiatif Sukuk Bertoken di bawah Program Sukuk Kelima MRL dengan kerjasama CIMB Group Holdings Bhd di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak pada Isnin.

Amir Hamzah berkata projek ECRL adalah projek bernilai RM52.43 bilion oleh kerajaan Malaysia yang melibatkan pinjaman berjangka sebanyak RM37.40 bilion daripada The Export-Import Bank of China (CEXIM) pada kadar faedah 3.25 peratus dan selebihnya melalui penerbitan sukuk di bawah institusi perbankan tempatan.

Katanya pembinaan projek ECRL telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 98.5 peratus bagi jajaran dari Kota Bharu hingga Gombak setakat Oktober 2026.

“Ia kini memasuki fasa akhir persediaan sebelum perkhidmatan komersial disasarkan bermula pada 12 Disember 2026,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here