Utama Berita Automotif Moto Morini Corsaro 750 bakal tiba pada 2027, tampil dengan enjin V-Twin

Moto Morini Corsaro 750 bakal tiba pada 2027, tampil dengan enjin V-Twin

1

Moto Morini mengesahkan model naked bike baharunya, Corsaro 750 akan mula memasuki bilik pameran pada tahun 2027.

Walaupun pernah dipertontonkan sejak 2024, model ini masih belum memasuki pengeluaran penuh. Kini, jenama Itali milik China itu nampaknya sudah bersedia untuk melancarkan Corsaro 750 secara rasmi.

Apa yang menarik, Corsaro 750 tidak mengikut trend kebanyakan motosikal kelas pertengahan yang menggunakan enjin dua silinder selari (parallel-twin).

Sebaliknya, ia dikuasakan enjin V-Twin 90 darjah berkapasiti 750cc yang menghasilkan 95hp.

Turut ditawarkan ialah versi kuasa rendah 47hp yang sesuai untuk pemegang lesen A2 di Eropah.

Salah satu ciri yang membezakan Corsaro 750 daripada pesaingnya ialah penggunaan aci engkol lawan putaran (counter-rotating crankshaft), teknologi yang lazim ditemui pada motosikal berprestasi tinggi dan jentera perlumbaan.

Sistem itu membantu mengurangkan kesan giroskopik enjin, sekali gus meningkatkan pengendalian motosikal ketika mengambil selekoh dan menukar arah.

Kuasa enjin dikawal menerusi sistem pendikit elektronik (ride-by-wire) yang menawarkan empat mod tunggangan, selain dilengkapi:

  • Cornering ABS
  • Cruise control
  • Kamera pemuka (dashcam) hadapan
  • Paparan TFT berwarna
  • Sistem navigasi menerusi aplikasi Moto Morini

Walaupun grafik paparan TFT kelihatan agak ringkas, semua maklumat penting dipaparkan dengan jelas dan mudah dibaca.

Moto Morini menawarkan Corsaro 750 dalam dua pilihan warna iaitu:

  • Red Passion
  • Viper Black

Buat masa ini, harga rasmi masih belum diumumkan. Namun dengan spesifikasi menarik serta penggunaan enjin V-Twin yang semakin jarang ditawarkan dalam segmen pertengahan, Corsaro 750 berpotensi menjadi antara naked bike paling menarik dalam kategori mampu milik apabila dilancarkan pada 2027.

Malah, dengan kemunculan model seperti Voge R800 pada tahun yang sama, segmen naked bike pertengahan dijangka menjadi lebih sengit dan menarik untuk diperhatikan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here