
Tiga pelancong Malaysia dikenakan denda berjumlah THB 12,000 (RM1,446) kerana menghalang lalu lintas demi merakam video untuk kandungan media sosial di Hat Yai pada Ahad.
Polis Hat Yai menyatakan ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 hingga 30 tahun itu bersama seorang warga Thailand telah dipanggil ke balai polis susulan aduan orang awam mengenai tindakan mereka sekitar jam 12.30 tengah malam.
Kereta berwarna hitam milik warga Thailand berkenaan mengetuai konvoi tiga buah Honda Civic dengan nombor pendaftaran Malaysia yang masing-masing berwarna biru, merah, dan putih.
“Pemandu kereta hitam di hadapan dipercayai sedang merakam video untuk kandungan media sosial, manakala kumpulan kenderaan terbabit melakukan beberapa pusingan U, menekan pedal minyak hingga menghasilkan bunyi bising, serta menghalang aliran trafik,” kata Leftenan Polis, Prut Pattanapran.
Menurut Prut, tindakan berkenaan telah menimbulkan kemarahan penduduk tempatan selepas rakaman kejadian tersebut tular di media sosial.
Beliau berkata kesemua empat pemandu terbabit mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak THB 4,000 (RM482) setiap seorang sebelum dibebaskan pada hari Ahad.
Prut turut mengingatkan pelancong asing supaya memahami, menghormati dan mematuhi undang-undang Thailand sepanjang berada di negara itu bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.





























