
Hari ini kita sudah biasa melihat pasukan polis di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempamerkan deretan kereta sports dan supercar terkini dalam armada mereka.
Tahun ini sahaja, Polis Dubai menyambut kehadiran Lamborghini Temerario dan Ferrari 812 Superfast yang ditala khas oleh Mansory.
Bagi emiriah Abu Dhabi pula, mereka pernah menayangkan jentera seperti Lykan Hypersport dan Nissan GT-R sebelum ini.
Namun, kebiasaannya supercar yang mencuri tumpuan utama ini lebih berfungsi sebagai elemen kempen mendekati masyarakat dan publisiti.
Ini pula kereta sports pertama yang menyertai armada polis persekutuan UAE, iaitu sebuah Porsche 924.
Jentera ini merupakan kenderaan tugas aktif yang pernah digunakan untuk mengiringi Ratu Elizabeth II sempena lawatan diraja pertama baginda ke UAE pada tahun 1979.
Sepanjang beberapa dekad, 924 ini kekal dalam simpanan armada Polis Persekutuan UAE dan pernah tampil dengan pelbagai warna berbeza.
Namun, bagi projek restorasi menyeluruh yang baru selesai dijalankan, pihak berkuasa memutuskan untuk mengembalikan semula livery asalnya dari hampir 50 tahun lalu.
“Porsche 924 ini melambangkan bab penting dalam sejarah Polis Abu Dhabi serta perkembangan armada kenderaan kami,” kata Leftenan Kolonel Ali Al Hammadi, Ketua Jabatan Warisan Polis di Polis Abu Dhabi.
“Usaha merestorasi kereta ini memberi peluang untuk mengekalkan hubungan fizikal dengan era tersebut dan berkongsi kisahnya bersama generasi akan datang.”
Proses restorasi ini telah dilaksanakan oleh pihak Porsche Centre Abu Dhabi dan Al Ain.
Selain menjadikan jentera klasik ini kelihatan seolah-olah baharu keluar dari kilang, pasukan restorasi turut mengambil pendekatan teliti dengan melukis semula tanda nama polis secara manual menggunakan tangan mengikut gaya asal, berbanding menggunakan pelekat (decal) moden.
Porsche 924 bersejarah ini telah diserahkan semula kepada Polis Abu Dhabi dalam satu majlis rasmi di Muzium Al Maqta, dan bakal dipamerkan kepada umum di festival Icons of Porsche di Dubai yang akan berlangsung pada 21 dan 22 November ini.
































