Utama Berita Automotif Wisma Putra : Nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke 10 negara Asia Barat...

Wisma Putra : Nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke 10 negara Asia Barat kekal berkuat kuasa

7

Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia bertarikh 5 Mac lalu melibatkan 10 negara Timur Tengah yang terkesan oleh aktiviti ketenteraan, kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

10 negara berkenaan ialah Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Oman, dan Arab Saudi.

Kementerian Luar, yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, dalam kenyataan bertarikh 5 Mac menyatakan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik yang berlaku di rantau itu. 

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan tertinggi kami. Mengambil kira kebimbangan keselamatan buat masa ini, Kementerian menasihatkan warga Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh konflik semasa.

“Ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan umrah atau ziarah,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut memohon pertimbangan dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi pelancongan.

Kementerian kini sedang bekerjasama rapat dengan Perwakilan Diplomatik, kerajaan di rantau berkenaan, serta syarikat penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Usaha pemindahan kami juga merangkumi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air dengan merujuk kepada pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar,” katanya.

Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berhampiran atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, memandangkan sebarang pengaturan untuk membawa mereka pulang akan diselaraskan berdasarkan pangkalan data berkenaan.

Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berkaitan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di negara terjejas sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular dan mengumpul maklumat untuk perancangan luar jangka.

“Kami menggesa rakyat Malaysia di negara yang terlibat supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan serta perhimpunan awam, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Kementerian akan memastikan usaha membawa mereka pulang ini berjaya dilaksanakan demi kepentingan rakyat Malaysia dengan sokongan semua pihak berkaitan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here