
Sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki terbabas lalu merempuh sebuah rumah ketika melarikan diri dari dikejar polis dalam kejadian di Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Kampung Star Kecil, Kerunai di Gerik selepas pihaknya menerima maklumat orang awam sekitar jam 9.25 malam.
Susulan maklumat itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu berjaya mengesan Mitsubishi Triton yang dinaiki suspek kira-kira jam 11.38 malam di persimpangan Taman 1Malaysia.
“Anggota MPV kemudian mengejar kenderaan tersebut sebelum dibantu oleh anggota dari IPD Gerik yang turut menyertai operasi.
“Kenderaan suspek melarikan diri menghala ke Jalan Gerik-Kupang sehingga memasuki kawasan Baling, Kedah,” katanya.

Tambah beliau, semasa aksi kejar berkenaan salah seorang suspek membaling beberapa objek termasuk alat pemotong, paku dan kabel ke arah kenderaan polis bagi menghalang operasi.
Katanya, kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Panjang sekitar jam 12.30 tengah malam/
“Pemilik rumah yang tinggal bersama ibu dan adik perempuannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Suspek bertindak melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu,” katanya.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu menemui 20 gulung kabel telekomunikasi, sebuah telefon bimbit jenis Realme, tiga pemotong kabel serta sebatang pencungkil besi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri tersebut.
Jelasnya, Triton berkenaan merupakan kenderaan sewa dan usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.


