
Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam 24 kes samun tepi jalan menggunakan teksi maut selepas ditembak polis di Chow Kit di Kuala Lumpur pada Rabu.
Serbuan dijalankan jam 2 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bukit Aman selepas berjaya mengesan suspek yang bersembunyi dalam sebuah bilik hotel di Chow Kit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata ketika serbuan, suspek yang bersenjata api telah bertindak melepaskan tembakan ke arah polis selepas menyedari serbuan berkenaan.
“Suspek telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ketika serbuan dilakukan sehingga menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan balas bagi mempertahankan diri.
“Tndakan itu berterusan sehingga ancaman keselamatan berjaya dihapuskan,” katanya.

Fadil berkata, suspek kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian.
“Dalam serbuan sama, kita turut merampas sepucuk senjata api dan dadah disyaki jenis syabu yang ditemukan di dalam bilik suspek,” ujarnya.





























