
Projek Litar Lumba Sungai Petani terhenti kira-kira dua tahun bermula Ogos 2023 hingga Ogos 2025 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata selepas keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diperoleh dan Permodalan Kedah Berhad menarik diri pada November 2024, Open Road bersama kontraktor mengambil inisiatif meneruskan projek menggunakan kaedah pembiayaan swasta (PFI).
Menurutnya, kemajuan fizikal fasa awal pembangunan membabitkan kerja infrastruktur, penyediaan tempat letak kereta dan pembinaan litar drag kini mencapai 78 peratus.
“Fasa ini melibatkan kos pembangunan RM16 juta dan dilaksanakan berdasarkan Kebenaran Mula Kerja Pembinaan Litar Sementara yang diberikan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK). Berdasarkan perancangan semasa, fasa berkenaan dijangka siap Jun 2027.
“Keseluruhan projek dianggarkan bernilai RM46 juta merangkumi RM16 juta bagi fasa awal dan RM30 juta lagi untuk pembinaan bangunan serta struktur utama yang dibiayai sepenuhnya melalui dana swasta secara PFI,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) yang ingin tahu mengenai kronologi pelaksanaan, kemajuan fizikal dan jumlah dana yang telah dibelanjakan bagi Projek Litar Lumba Sungai Petani sejak mula dilaksanakan.
Jelas Muhammad Sanusi, pihak syarikat telah mengemukakan permohonan pengezonan dan sedang dalam proses menyediakan serta mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) penuh daripada MPSPK.
Jelasnya, pembinaan bangunan dan struktur utama hanya boleh dimulakan setelah semua kelulusan yang berkaitan diperoleh serta syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, projek itu pada asalnya menerima peruntukan Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM30 juta, dengan RM10 juta dibelanjakan pentadbiran terdahulu bagi kerja pembersihan tapak, penyediaan tanah dan pembinaan jalan masuk antara 2017 hingga 2019.
Katanya, baki RM20 juta masih belum digunakan dan tiada penambahan peruntukan kerajaan diluluskan bagi projek berkenaan.
Difahamkan, pada peringkat awal terdapat cadangan membangunkan litar perlumbaan bertaraf antarabangsa setanding dengan Sepang International Circuit dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM75 juta dengan permohonan tambahan peruntukan sebanyak RM45 juta.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak diteruskan susulan beberapa faktor, termasuk pandemik COVID-19, perubahan pentadbiran kerajaan serta persetujuan bersama untuk menamatkan cadangan pembangunan tersebut.





























