
iCAUR V23 dianugerahkan Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik – Keselamatan Penunggang Motosikal pada Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP Ke-6 2026.
Majlis yang berlangsung pada 10 November lalu di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang itu dianjurkan Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Anugerah dwitahunan itu mengiktiraf model kenderaan berprestasi terbaik yang dinilai sepanjang kitaran penilaian 2024-2025.

Dinilai di bawah kitaran penilaian ASEAN NCAP 2021-2025 yang ketat, iCAUR V23 membuktikan reka bentuk SUV off-road klasik dapat digabungkan dengan kejuruteraan kenderaan elektrik (EV) moden serta perlindungan yang boleh dipercayai di jalan raya.
Anugerah itu menyusuli pencapaian V23 pada Disember 2025 apabila memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan markah keseluruhan 91.02 mata.
Pengiktirafan dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal itu menggariskan komitmen iCAUR untuk melindungi semua pengguna jalan raya di Malaysia, di mana kenderaan dua roda merupakan sebahagian penting dalam aliran trafik harian.
Dilengkapi sistem bantuan pemandu pintar dan teknologi keselamatan aktif, iCAUR V23 direka untuk mengesan, memberi amaran dan membantu mencegah potensi perlanggaran membabitkan penunggang motosikal dalam situasi pemanduan sebenar.

Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, berkata keselamatan kenderaan kekal menjadi keutamaan dalam misi syarikat untuk mentakrifkan semula pengalaman EV.
“Selepas penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP, penerimaan anugerah ini merupakan pengiktirafan yang membanggakan terhadap dedikasi pasukan kejuruteraan kami dalam memperkasa sempadan keselamatan EV moden,” katanya.
Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP Ke-6 2026 telah dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, bersempena Kursus Keselamatan Kenderaan Ke-9.





























