
Chery muncul sebagai penerima anugerah terbanyak pada Anugerah Grand Prix Asean NCAP Ke-6 2026, diterajui prestasi keselamatan model Tiggo 7.
Anugerah dwitahunan dianjurkan Program Penilaian Kereta Baharu Asean (Asean NCAP) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu mengiktiraf kenderaan yang dinilai dalam kitaran penilaian 2024-2025 serta pemain industri yang mencatatkan prestasi keselamatan cemerlang di Asia Tenggara.
Tiggo 7 menerima empat anugerah iaitu:
- Prestasi Keselamatan Terbaik bagi Bantuan Keselamatan
- Perlindungan Penumpang Dewasa
- Keselamatan Penunggang Motosikal
- Anugerah Kecemerlangan bagi SUV Terbaik
Chery turut menerima Anugerah Kecemerlangan bagi jumlah penarafan lima bintang terbanyak bagi tempoh 2021-2025, mencerminkan jumlah modelnya yang mencapai penarafan lima bintang di bawah penilaian Asean NCAP.
Anugerah itu menyusuli penilaian Asean NCAP ke atas Tiggo 7 PHEV pada Disember 2025, apabila model berkenaan mencatat 94.68 mata untuk memperoleh penarafan lima bintang di bawah protokol penilaian 2021-2025.
Ia merekodkan 40.00 mata penuh bagi perlindungan penumpang dewasa, 17.18 mata bagi perlindungan penumpang kanak-kanak, 20.00 mata bagi bantuan keselamatan dan 17.50 mata bagi keselamatan penunggang motosikal.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, pengiktirafan itu akan mendorong syarikat untuk terus meningkatkan pembangunan kenderaan dan standard keselamatan.
“Pengiktirafan daripada Asean NCAP amat bermakna bagi kami kerana ia mendorong Chery untuk terus meningkatkan standard dalam pembangunan kenderaan,” katanya.
Anugerah Grand Prix Asean NCAP Ke-6 2026 diadakan bersempena Kursus Keselamatan Kenderaan Ke-9 di Sepang, Selangor, yang menghimpunkan pakar keselamatan kenderaan, pembuat dasar, pengeluar dan pihak berkepentingan industri lain.
Acara itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard keselamatan kenderaan dan jalan raya di seluruh Asia Tenggara ketika pengeluar berdepan penelitian yang semakin meningkat terhadap perlindungan penumpang dan keberkesanan teknologi bantuan pemandu.
































