
BYD mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka pada Rabu kepada pelanggan Da Tang (Great Tang) yang terkesan atas kesilapan pemasangan rim.
Isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemilik yang berpotensi mendatangkan bahaya keselamatan itu berpunca daripada kesilapan kemasukan data oleh pembekal sub-pemasangan rim roda.
Model Da Tang menggunakan tetapan tayar tidak sekata yang mana di bahagian belakang adalah kira-kira 20 mm lebih lebar berbanding tayar hadapan, sekali gus memerlukan saiz rim khusus bagi setiap posisi.
Walau bagaimanapun, akibat kesilapan pengekodan di pihak pembekal, sebahagian kenderaan telah dipasang dengan rim hadapan dan belakang yang tertukar.
Kenderaan yang terlibat ialah BYD Da Tang (2026) varian elektrik penuh dengan jarak gerak 950km pacuan roda belakang (RWD). Mengikut spesifikasi reka bentuk pengeluar adalah :
- Roda Hadapan: Sepatutnya dipadankan dengan rim 20×8J dan tayar 255/50R20
- Roda Belakang: Sepatutnya menggunakan rim 20×9J dan tayar 275/45R20
Rim 8J dan 9J mempunyai perbezaan lebar sebanyak 25.4mm, namun kelihatan sangat mirip yang mana satu-satunya perbezaan hanyalah tanda spesifikasi yang dicop di bahagian dalam rim.
Pada beberapa unit yang diserahkan kepada pemilik, rim hadapan dan belakang telah dipasang secara terbalik dengan roda hadapan dipasangkan rim 9J bersama tayar 255, manakala roda belakang dipasangkan rim 8J dengan tayar 275.
Berdasarkan garis panduan pemasangan rim dan tayar standard industri, lebar tayar maksimum yang sesuai untuk rim 8J ialah 255 mm, manakala lebar rim standard bagi tayar 275 mm ialah 9.5J.
Memasang tayar 275 mm pada rim 8J yang lebih sempit akan menyebabkan sisi dinding tayar membonjol keluar, sekali gus mengubah cara bahu tayar menampung beban berbanding reka bentuk asal pengeluar.
Tindakan & Jaminan BYD

Susulan penemuan tersebut, BYD telah menjalankan ujian khusus dan memberi jaminan kepada pemilik bahawa kesilapan pemasangan itu tidak menjejaskan pengendalian kenderaan mahupun menimbulkan sebarang risiko keselamatan pemanduan.
Bagi menangani isu tersebut, syarikat berkenaan komited untuk melaksanakan langkah berikut:
- Menyediakan pemeriksaan dan penggantian rim secara percuma bagi kenderaan yang terjejas
- Menawarkan kereta gantian atau pampasan perbelanjaan pengangkutan sepanjang tempoh pembaikan
- Menetapkan semula tempoh jaminan komprehensif kenderaan bagi pemilik yang terjejas.
BYD memaklumkan bahawa pihaknya telah memperbaiki kesilapan pengekodan pembekal terbabit dan memastikan pembekal melaksanakan mekanisme pencegahan ralat visual baharu di barisan pengeluaran bagi menghindari kejadian yang sama berulang.
Model Da Tang yang dilancarkan pada Jun lalu dengan harga permulaan melebihi CNY230,000 (RM153,000), merupakan antara model paling laris keluaran BYD.
Malah, ia menjadi SUV elektrik penuh bersaiz besar terlaris di China selama dua bulan berturut-turut pada September dan Oktober, dengan rekod jualan bulanan mencecah 14,000 unit pada Oktober.





























