
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakar sejarah apabila kejayaan hasil kutipan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri ‘H’ yang mencecah RM91.2 juta secara rasmi diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records(MBOR).
Menurut kenyataan, pengiktirafan berkenaan bagi kategori Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series (Nilai Bidaan Terkumpul Tertinggi bagi Siri Nombor Pendaftaran Kenderaan).
“Kejayaan tersebut dicapai menerusi platform JPJeBid dengan penyertaan 34,664 pembida, sebanyak 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida serta bidaan tertinggi RM10.77 juta bagi nombor H1.
“Lebih bermakna, hasil NPI Siri ‘H’ turut dimanfaatkan melalui Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara,” menurut kenyataan.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkasa inovasi digital, meningkatkan penjanaan hasil negara serta memastikan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat.





























