
Pasaran SUV kompak di Malaysia sekarang bukan lagi sekadar pilihan tambahan, ia sudah menjadi medan perang utama. Setiap jenama mahu menawarkan gabungan gaya, teknologi dan harga yang “kena” dengan pembeli muda serta keluarga kecil.
Dalam suasana itulah Mitsubishi Motors Malaysia memperkenalkan Mitsubishi Xforce, sebuah SUV segmen-B yang secara tidak langsung mengisi ruang yang pernah ditinggalkan ASX.
Dari jauh lagi, Xforce nampak lebih berani berbanding Xpander. Bahasa rekaan Dynamic Shield masih jelas, namun kali ini lebih tajam dan moden. Lampu utama LED berbentuk T disepadukan dengan DRL yang kemas, sementara fender berbahu lebar dan rim 18 inci dua tona memberikan postur yang lebih tegap.
Sesuai Jalan Malaysia Yang Tidak Selalu Sempurna
Dengan panjang sekitar 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, ia duduk tepat dalam zon selesa segmen B. Kelegaan tanah 222 mm memang sesuai untuk jalan Malaysia yang tidak selalu sempurna.
Masuk ke kabin, suasananya terus berubah. Paparan infotainmen 12.3 inci digabungkan dengan kluster meter digital 8 inci memberi imej SUV yang jauh lebih mahal daripada harga sebenar. Susun atur papan pemuka nampak kemas dan moden, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Xforce ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Urban dan Ultimate.
Varian Urban sudah cukup lengkap untuk kegunaan harian dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman dan kamera undur.
Sistem Audio Premium Yamaha
Namun, varian Ultimate menjadi pilihan paling menarik dengan tambahan Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning serta Rear Cross Traffic Alert.
Tidak dilupakan, varian Ultimate turut dilengkapi sistem audio Yamaha Premium lapan pembesar suara, yang dalam pengalaman penulis memang memberikan kualiti bunyi lebih matang dan seimbang berbanding kebanyakan SUV dalam julat harga sama.
Di bawah bonet, kedua-dua varian menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder MIVEC yang menghasilkan 105 PS dan 141 Nm tork, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda hadapan. Walaupun angka kuasa ini sederhana, talaan CVT memberi penghantaran kuasa yang lancar dan sesuai untuk kegunaan bandar.
Kekuatan Xforce Bukan Terletak Pada Angka, Tetapi Pada Cara Ia Dipandu
Di laluan berselekoh, penulis mendapati Xforce terasa sedap dan seimbang. Suspensinya tidak terlalu lembut sehingga mengorbankan kestabilan, dan tidak terlalu keras sehingga membuatkan penumpang berasa tidak selesa. Olengan badan terkawal, manakala stereng memberikan maklum balas yang cukup jelas untuk keyakinan.

Menariknya, pembangunan dan talaan dinamik Xforce turut membabitkan Ketua Jurutera Produk, Mitsubishi Motors Corporation, Masahiro Tamura, yang pernah terbabit dalam generasi Mitsubishi Lancer Evolution.
Pengalaman serta pendekatan dinamik yang dibawanya dianggap mempengaruhi Xforce dari segi “falsafah pemanduan dan kawalan kenderaan”. Walaupun Xforce bukan model berprestasi tinggi seperti Evo, sentuhan talaan itu jelas dapat dirasai dalam keseimbangan casis dan respons sterengnya.

Pengalaman paling ketara dirasai ketika menguji mod Wet. Dalam satu sesi ujian, penulis mengelilingi laluan bulatan dengan permukaan tar yang sengaja disimbah air untuk meningkatkan tahap kelicinan. Dalam keadaan biasa, SUV pacuan hadapan cenderung untuk membuang ke luar.
Kenderaan Mudah Dikawal, Tidak Terasa Meluncur Keluar Bulatan
Namun, apabila mod Wet diaktifkan, sistem Active Yaw Control (AYC) bekerja dengan sangat efektif. Kenderaan lebih mudah dikawal, tidak terasa mahu meluncur keluar bulatan, malah lebih “melekat” ke bahagian dalam selekoh. Seolah-olah memandu di atas permukaan kering, dan rasa yakin itu nyata serta konsisten.
Empat mod pemanduan ditawarkan, membabitkan Normal, Wet, Gravel dan Mud. Bagi pasaran Malaysia yang sering berdepan hujan lebat, mod Wet benar-benar relevan, bukan sekadar ciri tambahan.

Di Malaysia, Mitsubishi Xforce dianggarkan dijual bermula RM110,000 untuk Urban dan RM120,000 untuk Ultimate. Ini kerana ia belum dilancarkan lagi dan harga rasminya dijangka diumumkan pada April ini.
Secara keseluruhan, Mitsubishi Xforce bukan SUV paling berkuasa dalam kelasnya, tetapi ia mungkin antara yang paling seimbang. Ia menawarkan gabungan gaya, teknologi, keselamatan dan pengalaman pemanduan yang konsisten.
Dalam dunia sebenar, keseimbangan itu selalunya lebih penting daripada sekadar angka kuasa.
GALERI GAMBAR:






