
Mitsubishi Motors North America mengumumkan kemunculan sulung global Mitsubishi Eclipse Sportback EV 2027, sebuah model elektrik baharu yang akan dipasarkan di Amerika Utara pada separuh kedua tahun ini.
Model tersebut dibangunkan menerusi kerjasama dengan rakan pakatan Nissan Motor Co. Ltd. dan menggunakan asas daripada Nissan LEAF generasi baharu.
Tidak hanya salinan bulat-bulat, Eclipse Sportback EV menerima perubahan kosmetik tersendiri bagi membezakannya daripada model Nissan.
Rekaan Khas Mitsubishi
Menurut Mitsubishi, Eclipse Sportback EV merupakan sebuah SUV elektrik subkompak berciri sporti yang menampilkan identiti reka bentuk tersendiri.
Antara perubahan yang diberikan termasuk rupa hadapan dan belakang unik yang selari dengan bahasa reka bentuk model Mitsubishi di peringkat global, selain lampu hadapan dan belakang dengan identiti pencahayaan tersendiri.
Model itu turut dilengkapi rim aloi bercirikan sporti serta logo ikonik Triple Diamond yang menjadi identiti jenama Mitsubishi.
Berasaskan Nissan LEAF Generasi Baharu
Walaupun dibangunkan menggunakan platform Nissan LEAF generasi baharu, Mitsubishi masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal Eclipse Sportback EV.
LEAF generasi ketiga tampil dengan imej crossover dan versi Jepun ditawarkan pilihan bateri 55kWj dan 78kWj bergantung kepada varian.
Varian LEAF B5 dengan bateri 55kWj menawarkan jarak pemanduan sehingga 521km mengikut kitaran WLTC bagi varian B5 S, manakala varian B5 X dan B5 G menawarkan jarak sehingga 469km.
Varian yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan ProPilot 2.0 pula mampu bergerak sehingga 461km dengan sekali cas penuh.
Bagaimanapun, Mitsubishi belum mengesahkan sebarang spesifikasi bateri, jarak pemanduan atau prestasi yang akan digunakan pada Eclipse Sportback EV.
Meneruskan Sejarah Elektrifikasi Mitsubishi
Pengenalan Eclipse Sportback EV merupakan kesinambungan kepada perjalanan elektrifikasi Mitsubishi yang bermula sejak dekad 1970-an apabila syarikat itu memulakan pembangunan kenderaan elektrik penuh di Jepun.
Pada tahun 2009, Mitsubishi memperkenalkan i-MiEV yang merupakan kenderaan elektrik pengeluaran besar-besaran pertama di dunia untuk beberapa pasaran terpilih sebelum memasuki pasaran Amerika Syarikat dan Kanada pada penghujung 2011.
Setahun kemudian, Outlander PHEV diperkenalkan sebagai SUV hibrid plug-in pertama di dunia sebelum memasuki pasaran Amerika Utara pada 2018.
Selain Eclipse Sportback EV, sebuah model baharu berorientasikan off-road yang dibangunkan daripada SUV Outlander turut dijadualkan membuat kemunculan pada awal 2027.
Maklumat lanjut termasuk spesifikasi teknikal, harga dan tarikh jualan rasmi Mitsubishi Eclipse Sportback EV akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kredit gambar: Mitsubishi, Nissan


































