
Satu hakikat pahit yang perlu ditelan ialah kos pembangunan EV yang cukup tinggi, lebih-lebih lagi jika melibatkan hanya satu pihak.
Justeru itu, Mitsubishi mengambil jalan mudah dengan bekerjasama dengan pengeluar Taiwan Foxconn dengan melancarkan semula Foxtron Bria menggunakan lencana Mitsubishi.
Dinamakan sebagai ASX VR-e, EV baharu Mitsubishi ini akan dilancarkan di pasaran Australia terlebih dahulu.
Model ini membawakan ukuran sepanjang 4,315 mm, lebar 1,885 mm, tinggi 1,535 mm dan jarak antara roda 2,800 mm, menyamai angka dimensi Foxtron Bria.
ASX VR-e dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 229 hp dan 350 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.
Terdapat juga varian GSR (masih ingat zaman Lancer dulu-dulu?) dengan motor elektrik tambahan pada gandar depan, menyumbang kepada output keseluruhan 459 hp dan 700 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.
Angka tersebut jauh lebih berkuasa berbanding Mitsubishi Lancer Evo yang paling ekstrem pernah dijual, iaitu Evo X FQ-440 MR dengan output 440 hp/559 Nm.
Kesemua varian hadir dengan pek bateri 57.7 kWh (jarak gerak 400 km), serta tiga pilihan mod pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport.
Mod Sport untuk varian GSR pula akan mengubah tetapan agihan kuasa gandar depan-belakang 50:50 atau 30:70.
ASX VR-e turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 134 kW.
Ruang kabin pula menawarkan kelengkapan seperti skrin kluster digital 9.2 inci, skrin infohibur 15.6 inci, roda stereng sport, sistem lampu ambien, kamera 360 darjah, serta tempat duduk balutan kulit atau fabrik.
Varian Exceed dan GSR mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung kaca panorama, pintu tailgate elektrik, dan sistem audio dengan 12-pembesar suara.
Buat masa ini, harga jualan masih lagi belum diumumkan.
Mitsubishi ASX VR-e akan tiba di pasaran Australia lewat tahun 2026.


































