
Honda NSX generasi pertama memang sebuah model yang ikonik, dan pernah disifatkan sebagai “poor man’s Ferrari” disebabkan rupa dan prestasi yang ditawarkan pada harga yang lebih mampu beli.
Kini, semangat asal Honda NSX dijelmakan semula dalam satu pakej yang lebih moden menerusi JAS Tensei.
Sebetulnya, ia adalah sebuah projek restomod yang memberi penghormatan penuh terhadap NSX 1990-an (lampu pop-up).
Pihak JAS bekerjasama dengan Pininfarina yang merupakan pereka asal NSX generasi pertama dan hasilnya memang cukup padu.
Tensei masih lagi jelas sebuah NSX yang mengekalkan elemen rekaan asal, akan tetapi ia telah diberikan nafas yang lebih moden.
Seperti contoh, jarak trek roda yang lebih lebar menjadikan rupa yang lebih berisi berbanding sebuah NSX Type R.
Lampu pop-up dan lampu belakang pula digantikan dengan unit LED dengan sentuan yang lebih moden.
Keseluruhan badan diperbuat daripada bahan gentian karbon, menyumbang kepada berat sekitar 1,250 kg.
Akan tetapi, enjin asal NSX tidak cukup ‘umph’ untuk menepati kriteria kereta sports moden.
Disebabkan itu, JAS meminta pakar enjin perlumbaan Judd untuk menala semula enjin V6 3.0L asal dengan menaikkan kapasiti kepada 3.4L.
Peningkatan tersebut memberikan kesan dari segi prestasi di mana ia kini mampu menjana kuasa 414 hp dan had putaran kini meningkat kepada 8,500 rpm (berbanding 8,000 rpm pada model asal).
JAS mendakwa enjin ini mampu berbunyi nyaring seperti jeritan enjin Grand Prix era 1990-an.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan transmisi manual 6-kelajuan dan shifter aluminium.
Susun atur ruang kabin NSX yang asal masih dikekalkan namun diserikan dengan elemen moden seperti kluster digital serta roda stereng yang sarat dengan butang fungsi.
Sayang sekali, pihak JAS mengehadkan unit produksi kepada 35 unit sahaja dengan harga jualan sekitar €880,000 (RM4.03 juta) tidak termasuk kereta penderma.



































