
Beberapa tahun yang lalu, Lanzante menghasilkan sebuah projek restomod Porsche 911 yang cukup mengejutkan dunia.
Ini kerana casis 911 Turbo tahun 1988 itu telah dipadankan dengan enjin bentangan V6 yang diambil daripada sukan Formula Satu!
Hanya 11 unit sahaja model yang dikenali sebagai TAG Turbo dihasilkan dan salah satu daripadanya sedia untuk diserahkan kepada pemilik baharu.
Sebut pasal enjin itu tadi, setiap satu TAG Turbo dipasangkan dengan nadi bentangan V6 1.5 liter turbo berkembar yang dibangunkan oleh Porsche untuk McLaren MP4/2 dan MP4/3.
Enjin yang sama pernah digunakan pada jentera Alain Prost pada GP Jerman 1986, serta GP Hungary 1987 dan GP Japan 1987.
Ketika perlumbaan di Hungary, Prost berjaya meraih kedudukan podium di tempat ketiga.
Enjin V6 tersebut mampu menghasilkan kuasa 510 hp yang memacu roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.
Cosworth juga turut memadankan unit piston baharu, rod penyambung, injap, spring injap, unit pengecas turbo dan penukar haba minyak untuk memastikan ia sesuai dengan pemanduan jalanan.
Bahagian panel luar badan TAG Turbo ini diperbuat daripada bahan gentian karbon ringan, sementara ruang kabin pula dikemaskan gandingan kulit hitam dan fabrik biru/hijau, serta unit stereo daripada Porsche.
Unit berwarna hijau ini memiliki jarak perbatuan sekitar 500 km sahaja, dengan jangkaan harga jualan antara $1.8 juta hingga $2.1 juta (RM7.62 juta-RM8.89 juta).