Utama Berita Automotif F1 sah guna enjin V8 tahun 2030

F1 sah guna enjin V8 tahun 2030

4

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem mengesahkan Formula 1 akan kembali menggunakan enjin V8 bermula musim 2030, sekali gus menamatkan era unit kuasa turbo hibrid yang diperkenalkan sejak 2014.

Pengumuman itu dibuat dalam majlis yang turut menyaksikan pengesahan kembalinya perlumbaan Formula 1 ke benua Afrika buat kali pertama sejak 1993.

Dalam acara sama, Ben Sulayem mengesahkan usaha untuk mengembalikan penggunaan enjin V8 akan diteruskan bermula musim 2030.

Walaupun hasrat kembali ke enjin V8 bukan lagi rahsia, tarikh sebenar pelaksanaannya masih menjadi tanda tanya sebelum ini dengan musim 2030 dan 2031 disebut sebagai pilihan utama.

Ini merupakan satu perkembangan yang cukup menarik memandangkan sistem hibrid V6 sedia ada menerima kritikan hebat akibat prestasi yang hambar dan terlalu bergantung kepada teknologi canggih.

Menurut Ben Sulayem, penggunaan semula enjin V8 bukan sekadar untuk mengembalikan identiti Formula 1, malah bertujuan menjadikan perlumbaan lebih menarik dan mampan dari sudut kos.

“Perkara paling penting ialah kami mahukan kereta yang lebih ringan. Beratnya dijangka berkurangan sekitar 80 kg.

“Kedua, kami mahu mengekalkan kelangsungan perniagaan. Kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta enjin juga dijangka berkurangan sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Ketiga, ia untuk peminat. Ia mengenai bunyi enjin, bukannya sekadar bunyi bising,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Formula 1, Formula One Management (FOM) serta pengeluar enjin memberikan sokongan penuh terhadap perubahan tersebut.

Pada Selasa, Formula 1 mengumumkan bahawa Grand Prix Afrika akan dianjurkan di sebuah litar baharu yang dibina khas di Rwanda. Perlumbaan tersebut dijangka menyertai kalendar F1 pada awal dekad 2030-an menerusi perjanjian selama 10 tahun.

Ini bermakna, Rwanda bakal menjadi antara lokasi pertama yang menyaksikan kemunculan semula enjin V8 dalam era moden Formula 1 apabila Grand Prix Afrika mula dianjurkan pada awal dekad 2030-an.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here