
Honda mengumumkan penambahbaikan untuk model MPV kompak Freed yang mula dijual di Jepun pada 20 November. Untuk makluman, Freed generasi ketiga diperkenalkan di Jepun pada tahun 2024.
Selain model terbaharu, Freed generasi kedua tidak dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Kemaskini tahun 2027 turut menyaksikan pengenalan varian khas Black Style untuk pilihan AIR EX dan CROSSTAR serta penambahan konfigurasi lima tempat duduk bagi AIR EX.
Freed tampil dengan reka bentuk mesra pengguna, badan kompak yang mudah dikendalikan serta ruang kabin luas dengan pelbagai konfigurasi tempat duduk.
Pilihan lima tempat duduk untuk Freed AIR EX
Antara perubahan utama ialah penambahan konfigurasi lima tempat duduk dengan dua baris kerusi untuk varian AIR EX.
Honda turut melengkapkan varian AIR EX dan CROSSTAR dengan sistem navigasi Honda CONNECT bersaiz sembilan inci sebagai kelengkapan standard.
Kedua-dua varian juga menerima peranti ETC2.0 sebagai kelengkapan standard, kecuali versi khas Black Style.
Bagi konfigurasi lima tempat duduk untuk kedua-dua varian tersebut, sistem penyaman udara belakang turut disediakan sebagai kelengkapan standard.
Untuk versi enam dan tujuh tempat duduk bagi semua varian, Honda menambah tali serbaguna Multi Utility Belt di belakang kerusi baris ketiga.
Kemudahan ini membolehkan barangan seperti kereta sorong bayi dan basikal diikat dengan lebih mudah.
Honda Freed Black Style
Honda turut memperkenalkan varian khas Black Style untuk AIR EX dan CROSSTAR dengan kemasan hitam pada bahagian luaran dan dalaman.
- Stereng balutan kulit dengan jahitan kelabu, kemasan Piano Black dan logo Honda kemasan Black Chrome.
- Kemasan papan pemuka khusus berwarna hitam.
- Corong penyaman udara dengan kemasan Piano Black.
- Pemegang pintu dalaman hadapan dengan kemasan Piano Black.
- Lapisan bumbung dan tiang kabin berwarna hitam.
- Gril hadapan khusus dengan kemasan Berlina Black dan Black Chrome.
- Logo Honda dan FREED dengan kemasan Black Chrome.
- Perumah cermin sisi dan hendal pintu luar berwarna Crystal Black Pearl.
- Antena sirip jerung dengan kemasan Berlina Black.
Varian ini turut dilengkapi sistem Adaptive Driving Beam, Rear Exit Support, sistem kamera Multi-View dan lampu LED Active Cornering Light.
Bagi AIR EX Black Style, kelengkapan tambahan merangkumi kerusi gabungan dengan kemasan dalaman khusus.
Ia turut menerima kemasan hiasan nombor pendaftaran belakang serta rim aloi 15 inci dengan kemasan Dark Cutting Clear.
Sementara itu, CROSSTAR Black Style menerima kemasan Berlina Black pada gril bawah hadapan, lampu kabus LED, kemasan bawah belakang dan rel bumbung aluminium.
Varian ini turut menggunakan rim aloi 15 inci dengan kemasan Dark Cutting Clear.
Penambahbaikan pada AIR EX dan CROSSTAR
Selain Black Style, Honda turut memperkenalkan beberapa perubahan pada AIR EX dan CROSSTAR.Bagi kedua-dua varian, kelengkapan standard kini merangkumi:
-
Sistem navigasi Honda CONNECT sembilan inci dan peranti ETC2.0.
-
Meja belakang kerusi dengan cangkuk beg untuk pemandu dan penumpang hadapan.
-
Lampu kabin, ruang kargo dan pintu belakang menggunakan LED.
-
Lampu pada cermin solek untuk pelindung matahari pemandu dan penumpang hadapan.
Untuk AIR EX, reka bentuk kemasan nombor pendaftaran belakang turut diubah.
CROSSTAR pula menerima kemasan Gunmetallic pada gril hadapan dan gril bawah hadapan.
Kemasan sama turut digunakan pada lampu kabus LED, cermin sisi, pemegang pintu luar, kemasan bawah belakang dan rel bumbung aluminium.
Reka bentuk gabungan warna dalaman Black dan Khaki turut dikemas kini.
Bagi konfigurasi lima tempat duduk, CROSSTAR dilengkapi sistem penyaman udara belakang sebagai kelengkapan standard.
Honda turut menawarkan pengecas USB Type-C dengan fungsi pengecasan pantas pada bahagian atas belakang kerusi pemandu dan penumpang hadapan.
Rangkaian kuasa petrol dan hibrid
Honda Freed ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu hibrid e:HEV dan petrol, kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder sebaris DOHC.
Bagi versi e:HEV, enjin menghasilkan kuasa 106PS pada 6,000 hingga 6,400rpm dan tork 127Nm pada 4,500 hingga 5,000rpm.
Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 123PS dan tork 253Nm serta bateri lithium-ion 48 sel. Sistem ini menggunakan transmisi e-CVT.
Sementara itu, versi petrol menghasilkan kuasa 118PS pada 6,600rpm dan tork 142Nm pada 4,300rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT bersama penukar tork.
Penggunaan Bahan Api
Berdasarkan ujian WLTC, purata penggunaan bahan api Honda Freed adalah seperti berikut:
e:HEV
- Pacuan roda hadapan (FF): 3.9 hingga 4.0L/100km.
- Pacuan empat roda (4WD): 4.7L/100km.
Petrol
- Pacuan roda hadapan (FF): 6.1 hingga 6.2L/100km.
- Pacuan empat roda (4WD): 6.9L/100km.
Harga Honda Freed 2027
Harga Honda Freed 2026 di Jepun bermula daripada ¥2,673,000 (RM69,070) bagi versi petrol dan ¥3,022,800 (RM78,109) bagi versi e:HEV.
Varian petrol paling mahal ialah CROSSTAR pada ¥3,499,100 (RM90,416), manakala versi e:HEV tertinggi ialah CROSSTAR pada ¥3,848,900 (RM99,517).






































