
Nio memohon maaf selepas seorang pemilik ES9 dilaporkan gagal memancarkan mesej pada lampu utama LED matriks.
Pemilik kenderaan berkenaan mendakwa apabila anak perempuannya menulis frasa “Saya sayang ayah” dalam bahasa Mandarin pada skrin infotainmen, sistem serta-merta menolaknya dengan paparan amaran “kata kunci sensitif”.
Ciri pemancaran mesej lampu utama kini menjadi kelengkapan biasa pada kenderaan tenaga baharu (NEV) mewah di China dan teknologi itu turut menarik perhatian badan kawal selia.
Susulan perkembangan pesat teknologi terbabit, Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China sebelum ini telah pun melancarkan rundingan awam berhubung undang-undang baharu bagi mengetatkan kawalan terhadap penggunaan paparan pencahayaan interaktif seumpamanya di jalan raya awam.
Ucapan Sayang Untuk Ayah Disekat, Tapi Untuk Ibu Lulus Serta-Merta

Menerusi perkongsian di platform media sosial China, Weibo, pemilik ES9 itu menceritakan detik kejadian berlaku selepas dia berjanji untuk mempamerkan kehebatan teknologi pancaran cahaya kereta baharu itu sempena hari jadi anaknya.
Namun, mesej tulisan tangan kanak-kanak tersebut disekat oleh sistem penapisan kenderaan kerana teknologi pengecaman tulisan tangan Nio tersalah dalam mentafsir.
Kemudian, bapa terbabit menulis semula frasa “Saya sayang ayah” dalam bahasa Mandarin, namun amaran “kata kunci sensitif” yang sama tetap muncul.
Peliknya, sebaik sahaja dia menukar dan menulis frasa “Saya sayang ibu”, sistem ES9 terus menerima input tersebut dan memancarkannya ke jalan raya tanpa sebarang sekatan.
Insiden lucu yang membingungkan itu mendorong beberapa pemilik ES9 lain di China mencuba menulis paparan mesej yang sama dan turut menerima amaran penolakan yang sama.
Penjelasan Naib Presiden Nio & Keraguan Netizen

Susulan tularnya insiden berkenaan, Naib Presiden Nio, Ma Lin tampil mengakui bahawa strategi pengesanan kata kunci pada model ES9 terlalu ketat dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
Beliau menjelaskan bahawa sistem berkenaan telah tersilap mengenal pasti aksara Mandarin bagi perkataan cinta/sayang (爱) sebagai aksara lain dan memaklumkan pihak syarikat telah pun melakukan kemas kini serta membaiki ciri mesej lampu utama tersebut.
Menurut pemerhatian warganet serta penganalisis teknologi tempatan, sekiranya kesilapan pengesanan pada aksara sayang menjadi punca utama, kedua-dua mesej tersebut sepatutnya mencetuskan sekatan yang sama.
Sebaliknya, sistem pengecaman tulisan tangan (OCR) pada skrin ES9 berkemungkinan besar telah tersalah mentafsir aksara Mandarin bagi perkataan “ayah” (爸爸) memandangkan perisian berkenaan perlu membaca pelbagai variasi gaya tulisan tangan bebas daripada pengguna sebelum melalui saringan senarai kata kunci sensitif.





























