Utama Berita Automotif VOYAH DREAM 9 jadi tumpuan menjelang pelancaran peringkat global

VOYAH DREAM 9 jadi tumpuan menjelang pelancaran peringkat global

35

Model MPV flagship VOYAH DREAM 9 menjadi tumpuan utama dalam program VOYAH Intelligent Luxury Tour yang berlangsung di Wuhan, China pada 21 September 2026, sehari sebelum pelancaran globalnya pada 22 September lalu.

Program eksklusif anjuran VOYAH itu menghimpunkan wakil media antarabangsa dari beberapa pasaran utama Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, serta Hong Kong.

Sepanjang program itu, delegasi media berpeluang melawat fasiliti pembuatan VOYAH dan melihat sendiri barisan kenderaan tenaga baharu (NEV) premium keluaran jenama itu, termasuk DREAM 9 yang bakal dilancarkan.

Antara lokasi utama lawatan ialah VOYAH Huangjin Factory di Wuhan, yang mengetengahkan sistem pembuatan pintar dan automasi sepenuhnya.

Kilang tersebut menggunakan sistem penghantaran bahan di bahagian atas (overhead) serta robot Automated Guided Vehicle (AGV) yang bergerak di kawasan pemasangan akhir bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Setiap kenderaan turut dilengkapi identiti digital tersendiri, membolehkan proses pengeluaran dijejaki secara menyeluruh, bermula daripada komponen individu sehingga kenderaan siap sepenuhnya.

Menurut VOYAH, integrasi teknologi 5G, big data dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan pelaksanaan pengeluaran lebih fleksibel dan berasaskan digital.

Sistem pengeluaran bercampur secara rawak itu membolehkan model sedan, MPV dan SUV dihasilkan pada barisan pemasangan yang sama.

Secara keseluruhan, gabungan kilang VOYAH Huangjin dan VOYAH Yunfeng mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 450,000 unit setahun, dengan keupayaan menghasilkan sebuah kenderaan setiap kira-kira 40 saat.

Delegasi media turut dibawa melawat pusat pengguna pelbagai fungsi yang terletak bersebelahan kilang berkenaan..

Dengan keluasan melebihi 30,000 meter persegi, ia adalah kedai flagship terbesar VOYAH di China yang menggabungkan ruang pameran, konfigurasi kenderaan, pengalaman jenama, servis selepas jualan serta kemudahan pengecasan ultra pantas.

Dari segi pembangunan teknologi, VOYAH membangunkan sendiri pelbagai teknologi teras termasuk sistem rangkaian kuasa elektrik, sistem casis, kokpit pintar, teknologi pemanduan pintar dan pembuatan kenderaan.

Portfolio jenama itu kini merangkumi model SUV, MPV dan sedan, dengan lebih 400,000 pengguna di seluruh dunia.

Menjelang pelancaran global, DREAM 9 dilaporkan menerima sambutan luar biasa apabila merekodkan lebih 30,000 tempahan dalam tempoh hanya 48 jam selepas tempahan dibuka.

Menurut VOYAH, varian tertinggi Li Zun Edition menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah tempahan tersebut, manakala lebih 20,000 tempahan datang daripada pemilik sedia ada VOYAH yang ingin menaik taraf kenderaan mereka.

Dari segi dalaman, DREAM 9 menampilkan konsep reka bentuk Embracing Heaven and Earth dengan susun atur One Cabin, Eight Scenarios yang membolehkan ruang kabin disesuaikan untuk pelbagai kegunaan termasuk perjalanan, santai dan urusan perniagaan.

Tempat duduk baris kedua menggunakan kerusi jenis zero-gravity yang boleh diputar pada pelbagai sudut, sekali gus memberikan fleksibiliti maksimum kepada penumpang untuk mengubah susunan mengikut keperluan.

Dalam perkembangan global, VOYAH kini meneroka 40 negara dan wilayah, dengan lebih 240 pusat jualan dan servis di luar China.

Syarikat itu memaklumkan strategi globalnya kini memberi tumpuan kepada pengukuhan pasaran Eropah, pengembangan di Timur Tengah serta kemasukan ke pasaran pemanduan sebelah kanan (right-hand drive).

Perkembangan ini turut menarik perhatian pasaran Malaysia sebagai antara negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan.

Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi berhubung harga, spesifikasi teknikal, tarikh pelancaran atau status jualan DREAM 9 di Malaysia setakat ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here