
Pertambahan pesat dalam penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, menyaksikan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) melancarkan kempen khas kepada semua pemilik EV supaya mengamalkan etika pengecasam bertanggungjawab bagi memastikan kemudahan pengecasan awam dapat digunakan secara teratur dan adil.
Seruan itu hadir ketika Proton e.MAS dilaporkan menguasai 60.9 peratus bahagian pasaran EV negara, dengan e.MAS 5 muncul sebagai model EV nombor satu, e.MAS 7 sebagai SUV EV segmen-C paling laris, manakala e.MAS 7 PHEV pula mendahului segmen PHEV.
Menurut PRO-NET, pertambahan jumlah EV di jalan raya bukan sahaja mengubah landskap mobiliti negara, malah turut mengubah tabiat pengguna, khususnya dalam penggunaan stesen pengecasan awam.
Jelas syarikat itu, dengan semakin ramai pemilik yang bergantung kepada kemudahan pengecasan awam, sikap bertimbang rasa dan bertanggungjawab antara pengguna menjadi semakin kritikal.
Perkara asas seperti tidak menggunakan petak pengecasan lebih lama daripada sepatutnya dan segera mengalihkan kenderaan selepas pengecasan selesai, dilihat mampu memberi impak besar dalam memastikan giliran yang adil untuk pengguna lain.
Ketika ini, menerusi Peta Pengecasan Langsung Bersepadu, PRO-NET menyediakan maklumat lebih 5,100 titik pengecasan yang meliputi 90 peratus kawasan di seluruh negara.
Ekosistem berkenaan turut merangkumi lebih 2,000 titik pengecasan di lebih 700 pembangunan kediaman bertingkat tinggi, selain 103 titik pengecasan pantas DC di rangkaian pengedar Proton di seluruh negara.
Ketua Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim berkata, pengecasan kini semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian pengguna di Malaysia seiring pertumbuhan ekosistem EV.
“Dengan semakin banyak kenderaan EV di jalan raya dan lebih banyak kemudahan pengecasan disediakan, pengecasan kini semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian pengguna kenderaan di Malaysia.
“Jadi, penting untuk kita sama-sama membentuk tabiat beretika sejak awal supaya pengalaman mengecas menjadi lebih mudah dan selesa untuk semua,” katanya.

Bagi menggalakkan budaya tersebut, PRO-NET memperkenalkan siri mesej kesedaran berkaitan etika pengecasan EV di beberapa stesen pengecasan awam JomCharge terpilih.
Mesej itu berfungsi sebagai peringatan mesra kepada pengguna, termasuk mengecas hanya untuk tempoh yang diperlukan, mengalihkan kenderaan selepas selesai, serta memastikan petak pengecasan sentiasa tersedia untuk pengguna lain.
Pengguna turut dinasihatkan supaya lebih peka terhadap pemilik EV lain yang sedang menunggu giliran, terutama ketika stesen berada pada tahap penggunaan tinggi.
Inisiatif sama turut akan disampaikan kepada setiap pemilik baharu Proton e.MAS semasa proses penyerahan kenderaan, sebagai usaha membentuk amalan pengecasan yang baik sejak hari pertama pemilikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff berkata, pemilik Proton e.MAS mempunyai peranan penting untuk menjadi contoh dalam membentuk budaya pemilikan EV yang bertanggungjawab di Malaysia.
Menurut beliau, tanggungjawab sebagai pemilik EV bukan sekadar terletak pada cara kenderaan dipandu, tetapi turut merangkumi cara kemudahan awam digunakan dan tahap penghormatan terhadap pengguna lain.
“Etika pengecasan yang baik bukan bergantung pada jenama atau logo pada kenderaan. Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada sikap kita sebagai pemilik EV,” katanya.
PRO-NET menegaskan komitmennya untuk terus memperluas akses kepada kemudahan pengecasan, sambil menggalakkan penggunaan yang berhemah selari dengan perkembangan pesat ekosistem EV dan permintaan yang semakin meningkat di seluruh negara.































