Utama Berita Automotif Mahkamah arah JLR musnah fail rampasan BYD dalam tempoh 24 jam

Mahkamah arah JLR musnah fail rampasan BYD dalam tempoh 24 jam

1

Mahkamah Daerah The Hague memerintahkan Jaguar Land Rover (JLR) memusnahkan semua fail yang dirampas dari pejabat BYD di Belanda berkaitan dakwaan model BYD Ti 7 meniru reka bentuk ikonik Land Rover Defender.

Menerusi keputusan awal yang dikeluarkan oleh Hakim H.F.R. van Heemstra pada Rabu, mahkamah membatalkan perintah rampasan bukti pada Ogos lalu yang melibatkan penyitaan rekod dalaman dari premis BYD di Schiedam dan Hoofddorp.

Denda EUR50,000 Setiap Jam Jika Gagal Laksana Arahan

Susulan keputusan terbaharu itu, JLR diarah mengeluarkan perintah kepada pegawai penguat kuasa mahkamah atau penjaga bebas yang dilantik mahkamah bagi memusnahkan keseluruhan fail berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Kegagalan syarikat automotif British itu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan bakal dikenakan penalti sebanyak EUR 50,000 (RM226,600) bagi setiap jam kelewatan, dengan had maksimum mencecah EUR 500,000 (RM2.3 juta).

Terdahulu, JLR memperoleh kebenaran rampasan itu secara ex parte (tanpa kehadiran atau peluang BYD membantah terlebih dahulu) selepas mendakwa Fang Cheng Bao Tai 7 yang dijual di China meniru reka bentuk Defender serta disyaki melalui proses kejuruteraan terbalik. 

Namun, fail yang disita itu disimpan oleh penjaga bebas mahkamah dan tidak pernah diserahkan secara langsung kepada pihak JLR.

Mahkamah Tolak Tuntutan Penalti JLR Terhadap BYD

BYD kemudiannya mencabar skop rampasan tersebut atas alasan ia turut melibatkan dokumen penyelidikan dan pembangunan (R&D) proprietari syarikat yang tiada kaitan dengan kes tersebut. 

Mahkamah bersetuju bahawa fail-fail tersebut tidak diperlukan JLR untuk menyokong dakwaan isu reka bentuk mahupun bagi mengira ganti rugi memandangkan model Ti 7 masih belum dipasarkan di Kesatuan Eropah (EU).

Perincian Perintah Mahkamah The Hague Keputusan & Implikasi Undang-Undang
Pemusnahan Bukti JLR wajib arah penjaga bebas musnahkan fail rampasan BYD dalam tempoh 24 jam dan beri pengesahan bebas.
Penalti Kelewatan / Ingkar EUR50,000/jam (maksimum EUR500,000) jika lewat, denda berasingan EUR500,000 jika cuba guna kebenaran rampasan lama.
Tuntutan Penalti JLR Ditolak oleh mahkamah selepas dapati BYD mematuhi perintah rampasan asal secara sementara.
Bayaran Kos Guaman BYD diperintahkan membayar kos guaman sebanyak EUR 25,376.57 (RM115,006)

Keputusan terbabit berkuat kuasa serta-merta walaupun rayuan dikemukakan, selain mahkamah menegaskan tiada mana-mana pihak luar termasuk JLR dibenarkan mengakses rekod rahsia tersebut.

Pertikaian Asas Reka Bentuk Defender Masih Terbuka

Meskipun perintah pembatalan rampasan bukti tersebut, hakim masih belum membuat keputusan muktamad sama ada BYD Ti 7 melanggar hak harta intelek JLR atau sebaliknya.

Agensi berita Belanda, ANP melaporkan bahawa JLR telah pun menggerakkan dua prosiding berasingan melibatkan tuntutan hak reka bentuk EU bagi model Defender di The Hague serta tuntutan hak cipta dan peniruan di Rotterdam.

Di bawah undang-undang EU, reka bentuk tidak berdaftar menikmati perlindungan selama tiga tahun dari tarikh pendedahan awam pertama, manakala reka bentuk berdaftar boleh diperbaharui setiap lima tahun sehingga tempoh 25 tahun.

Untuk rekod, JLR sebelum ini pernah berdepan kegagalan dalam cubaan berasingan untuk mendaftarkan tanda dagangan bentuk tiga dimensi bagi Range Rover Evoque di EU serta siluet klasik Defender di United Kingdom.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here