
Pasukan undang-undang Tesla telah mengeluarkan notis tuntutan rasmi kepada sebuah platform media kenderaan tenaga baharu (NEV) China, D1EV bagi menghentikan serta-merta ujian dan promosi tanpa kebenaran ke atas perisian Full Self-Driving (FSD).
Pertikaian undang-undang itu tercetus susulan penganjuran “Pertandingan Pemanduan Pintar” di Changsha baru-baru ini, yang menyaksikan D1EV menggunakan sebuah Tesla Model Y yang dilengkapi perisian FSD V14.2.2 yang diaktifkan secara tidak rasmi.
Dalam surat guaman yang dihantar kepada D1EV, Tesla mendakwa kenderaan yang digunakan dalam pertandingan terbabit telah melalui proses penggodaman haram serta pengaktifan tanpa kebenaran untuk memintas sekatan wilayah.
Tesla menegaskan tindakan tersebut menyebabkan ciri-ciri yang belum mendapat kelulusan kawal selia di China beroperasi secara berbahaya, sekali gus melanggar peraturan mandatori Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) dan Pentadbiran Negeri bagi Pengawalseliaan Pasaran (SAMR).
Dalam tuntutan berkenaan Tesla meminta D1EV:
- Menghentikan serta-merta segala aktiviti penggodaman, pengaktifan dan pengujian tanpa kebenaran ke atas perisian bantuan pemanduan Tesla.
- Memadamkan semua video, artikel dan kandungan media sosial berkaitan serta memastikan platform pihak ketiga turut melakukan perkara yang sama.
- Menyerahkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) kereta yang terlibat dalam tempoh 48 jam dan bekerjasama dengan pasukan teknikal Tesla untuk mengembalikan tetapan kenderaan ke tahap asal kilang.
- Mengeluarkan komitmen bertulis rasmi untuk tidak melakukan sebarang kejuruteraan terbalik atau akses tanpa kebenaran ke atas sistem Tesla pada masa hadapan.
Tesla memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi tuntutan tersebut boleh membawa kepada pertuduhan jenayah.
Reaksi Balas CEO D1EV

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) D1EV, Pang Yicheng secara terbuka menolak tuntutan Tesla dengan menyatakan bahawa beliau tidak percaya tindakan agensi media berkenaan menyalahi undang-undang.
Menerusi satu respons video, Pang menggariskan tiga justifikasi utama:
-
Tugas Media: D1EV telah berulang kali memohon akses rasmi kepada versi ujian dalaman bagi menyediakan ulasan yang sahih kepada pengguna, memandangkan ramai pemilik di China tidak sabar mengetahui perkembangan FSD V14.
-
Advokasi Industri: Pang mendakwa tindakannya bertujuan mendorong pihak berkuasa kawal selia mempercepatkan kelulusan rasmi FSD V14 di China.
-
Permintaan Awam: Ujian tersebut didorong oleh minat tinggi daripada komuniti automotif yang mahu melihat prestasi perisian berkenaan berdepan keadaan jalan raya China yang mencabar.
“Jika jabatan undang-undang anda merasakan perlu untuk mengambil tindakan, silakan berbuat demikian. Kami tidak akan memadamkan kandungan tersebut,” tegas Pang.
Konteks: “Pasaran Gelap” FSD di China
Walaupun FSD V14 merupakan komponen teras dalam strategi pemanduan autonomi tahap tinggi Tesla, ia masih belum menerima kelulusan kawal selia sepenuhnya untuk pelancaran komersial di China.
Meskipun ramai pemilik telah membayar sebanyak CNY64,000 (RM39,136) untuk pilihan tersebut namun masih tidak dapat mengakses rangkaian ciri penuh seperti yang ditawarkan di Amerika Utara.
Jurang ini telah menggalakkan pasaran gelap yang mana alat pihak ketiga yang sering dijual pada harga hanya beberapa ratus yuan digunakan untuk membuka kunci ciri yang disekat.
Aktiviti tanpa kebenaran sebegini turut berdepan penelitian undang-undang di peringkat global yang mana awal tahun ini lebih 80 pemilik Tesla di Korea Selatan disiasat kerana menggunakan peranti luaran untuk mengaktifkan FSD, dengan potensi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sekitar CNY100,000 (RM61,149).
Pihak berkuasa dalam kes tersebut memetik risiko keselamatan jalan raya yang ketara, termasuk kemungkinan kesilapan penilaian sistem.
Setakat ini, Tesla China masih belum mengeluarkan sebarang ulasan lanjut secara rasmi berhubung perkara tersebut.





























