Utama Berita Automotif Gangguan bekalan minyak, bos Pertamina mohon maaf

Gangguan bekalan minyak, bos Pertamina mohon maaf

3

Ketua Pengarah PT Pertamina, Simon Aloysius Mantiri memohon maaf susulan berlakunya gangguan bekalan dan pengagihan bahan api sejak kebelakangan ini.

“Atas nama Pertamina, saya menyampaikan permohonan maaf yang sebesar-besarnya serta permohonan maaf yang tulus atas gangguan bekalan dan pengagihan bahan bakar yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Pertamina amat rumit namun perkara tersebut tidak mengurangkan tanggungjawab pihaknya untuk segera memulihkan keadaan dan menyediakan penyelesaian dalam kadar yang segera.

“Kami juga menyedari bahawa Pertamina merupakan Syarikat Milik Negara (BUMN) yang menggalas amanah untuk membekalkan tenaga buat seluruh rakyat Indonesia di mana jua mereka berada.

Simon Aloysius Mantiri

“Dalam erti kata lain, kami ini adalah pelayan. Tugas kami adalah melayani keperluan tenaga seluruh rakyat Indonesia,” katanya.

Bagi mengatasi gangguan bekalan bahan bakar berkenaan, Simon berkongsi Pertamina bukan sahaja memperkukuh penyelarasan, malah turut mengerahkan langkah-langkah tambahan di lapangan terutamanya di kawasan yang terjejas.

“Kami menjalankan operasi terminal dan stesen minyak selama 24 jam, termasuk menggerakkan armada lori tangki tambahan berserta kru, menyediakan stesen minyak modular di lokasi-lokasi yang memerlukan, sehinggalah mengoptimumkan perkhidmatan Pertamina Delivery Services. 

“Saya dan barisan pengurusan berkaitan juga turun padang secara langsung bagi memastikan strategi penanganan dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus bersama-sama para petugas Pertamina yang berjuang di barisan hadapan untuk memulihkan bekalan kepada masyarakat.

“Pelbagai langkah tersebut kami jalankan bersama kerajaan, khususnya kerajaan tempatan, tentera, polis, pengusaha stesen minyak serta agensi berkaitan,” akhiri Simon.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here