
Seorang pemilik Honda Stream mengalami kerugian RM4,800 selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Tanjung Mas, Kota Bharu, bulan lalu.
Wang yang seharusnya digunakan untuk belanja isi rumah itu dikorbankan untuk membayar kos baik pulih MPV miliknya yang rosak.
Peniaga, Hafiz Rahim, 43 berkata keretanya mengalami masalah pada hari yang sama selepas mengisi RON95 sehingga penuh pada waktu pagi.
Menurutnya, Honda Stream itu tidak dapat dihidupkan di sebelah petang dan terpaksa ditunda ke bengkel.
“Pada mulanya, mekanik menukar motor penghidup dan kereta dapat dihidupkan, tapi hanya sempat bergerak kurang daripada 3km sebelum tersengguk-sengguk dan mati semula.
“Apabila cuba lagi, kereta dapat dihidupkan tetapi enjin mati semula apabila hendak bergerak,” katanya.

Tambahnya, dia terpaksa menghantar kereta itu ke bengkel lain untuk mengenal pasti punca kerosakan selepas pemeriksaan di bengkel pertama gagal mencari punca masalah.
Katanya, mekanikak di bengkel kedua menemui petrol bercampur air dalam tangki dengan jumlah yang banyak.
“Kereta saya mengalami kerosakan pada beberapa komponen lain sehingga perlu menukar enjin dan berada di bengkel lebih sebulan.
“Kereta dimasukkan ke bengkel pada 5 Ogos lalu dan hanya siap dibaiki pada 8 September,” jelasnya.
Kongsinya proses baik pulih melibatkan menurunkan tangki minyak, membuang dan mencuci saluran petrol kereta.
STESEN MINYAK DAKWA TIADA ADUAN
Menurut Abdul Hafiz, dia turut memaklumkan perkara itu kepada kakitangan stesen minyak terbabit, namun diberitahu bahawa sepanjang 13 tahun kakitangan itu bekerja di situ, tiada aduan berkaitan air dalam petrol diterima.
Jawapan itu menyebabkan dia terdiam dan tidak memanjangkan aduan berkenaan ketika itu.
Dia bagaimanapun berharap pihak stesen minyak mengubah pendekatan dan menerima setiap aduan pelanggan terlebih dahulu dan menjalankan siasatan sebelum memberikan jawapan sedemikian.
“Saya faham perkara ini mungkin bukan sengaja tapi pihak stesen minyak pun perlu ambil berat aduan pelanggan terutama pelanggan tetap.
“Saya bukan menuduh, tapi saya ada bukti kali terakhir saya isi minyak di situ sebelum kereta rosak dan jumpa air bersama petrol dalam tangki minyak kereta,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum kejadian itu mengisi petrol di stesen berkenaan secara berkala dan membelanjakan hampir RM2,000 sebulan.




























