
Armada kenderaan mewah Polis Dubai sememangnya terkenal dengan koleksi supercar dan kereta eksotik yang mencuri perhatian.
Kini, senarai tersebut diperkuatkan lagi dengan kehadiran Lamborghini Temerario, menyertai model-model lain seperti Urus, Huracan, Aventador dan Revuelto yang sudah lama berkhidmat dalam warna rasmi pasukan itu.
Penyerahan supercar elektrifikasi tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dengan Lamborghini Abu Dhabi dan Dubai.
Dari segi penampilan, Temerario berkenaan menggunakan livery ikonik putih dan hijau Polis Dubai lengkap dengan lambang khas serta tulisan “Police” dalam bahasa Inggeris dan Arab.
Walaupun dibekalkan rangkaian kuasa yang menghasilkan 907 hp (677 kW / 920 PS) dan 900 Nm tork menerusi enjin V8 4.0 liter twin-turbo bersama tiga motor elektrik, Temerario ini sebenarnya bukan ditugaskan untuk mengejar pesalah di lebuh raya.
Sebaliknya, ia akan berkhidmat di bawah Jabatan Polis Pelancong, dengan tugas utama membuat rondaan dan kemunculan di lokasi tumpuan pelancong serta kawasan berkepadatan tinggi di seluruh Dubai.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Dubai, Brigadier Saeed Al Hajri, armada rondaan mewah itu berfungsi sebagai gabungan antara kehadiran keselamatan yang berkesan dan interaksi bersama masyarakat serta pelancong.
Beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran supercar polis membantu orang ramai berasa lebih selamat sambil mengukuhkan imej pasukan polis yang dekat dengan komuniti.
Ringkasnya, jika anda terserempak dengan Temerario ini di Dubai, jangan segan untuk bergambar bersama.
Menariknya, ini bukan kali pertama Lamborghini Temerario tampil dengan livery polis.
Baru-baru ini, Polizia di Stato atau Polis Negara Itali turut memperkenalkan Lamborghini Temerario mereka sendiri, sebagai pengganti kepada model Gallardo dan Huracan yang pernah digunakan sebelum ini.
Namun peranannya berbeza berbanding unit milik Polis Dubai.
Jika Temerario Dubai lebih berorientasikan pelancongan dan promosi, Temerario milik Polis Itali digunakan untuk tugasan kecemasan berkeutamaan tinggi, termasuk penghantaran organ manusia ke seluruh negara dalam tempoh yang kritikal.
Bagi tujuan tersebut, supercar elektrifikasi Lamborghini itu dibenarkan melebihi had laju 130 km/j yang ditetapkan di lebuh raya Itali, dengan pemandu terlatih mengendalikan kenderaan tersebut.
Sepanjang 22 tahun kerjasama antara Lamborghini dan Polis Negara Itali, unit respons pantas itu berjaya mengangkut lebih 200 organ untuk tujuan pemindahan, sekali gus membantu menyelamatkan banyak nyawa.
Jika diberi pilihan, yang mana satu lebih menarik perhatian anda, Lamborghini Temerario Polis Itali berwarna biru-putih atau Temerario Polis Dubai dengan livery putih-hijau?































