Utama Berita Automotif Dongfeng Nissan NX7 untuk China, SUV PHEV dengan jarak 1,666km!

Dongfeng Nissan NX7 untuk China, SUV PHEV dengan jarak 1,666km!

3
 

Dongfeng Nissan memperkenalkan SUV hibrid plug-in (PHEV) NX7, sempena Pameran Auto Guangzhou 2026 di China pada 27 November lalu.

NX7 menjadi model keempat dalam keluarga N Series selepas sedan elektrik N7, sedan PHEV N6 dan SUV NX8.

Dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pengguna muda, NX7 menggabungkan reka bentuk tersendiri, teknologi moden dan praktikaliti untuk kegunaan harian.

Reka Bentuk Luaran dan Dimensi

Reka bentuk badan rendah, memanjang dan lebar digabungkan dengan bumbung terapung serta bahagian belakang sporti untuk penampilan SUV yang lebih dinamik.

Dari segi dimensi, NX7 mempunyai ukuran panjang 4,785mm, lebar 1,932mm dan tinggi 1,665mm dengan jarak roda 2,815mm.

Model itu menampilkan nisbah jarak roda kepada panjang badan 0.59, nisbah roda kepada badan 2.2 dan nisbah keemasan lebar kepada tinggi 1.16.

Pada masa sama, perkadaran badan itu menyokong ruang kabin luas untuk penumpang di kedua-dua baris.

Pilihan warna luaran terdiri daripada Obsidian Black, Pearl White, Rock Gray, Clover Green dan Wisteria Purple.

Bahagian dalaman  menggunakan konsep wraparound cockpit dengan bentuk permukaan lembut dan membulat.

Sebanyak 90 peratus permukaan kabin menggunakan bahan sentuhan lembut, selain sistem pencahayaan ambien dengan 256 pilihan warna.

Sistem PHEV dan Bateri 40.95kWj

Semua varian NX7 menggunakan rangkaian kuasa PHEV yang menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter dengan bateri CATL berkapasiti 40.95kWj.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa 98hp, manakala kuasa keseluruhan sistem mencapai 170kW (228hp).

Gabungan itu membolehkan NX7 mencatatkan jarak pemanduan elektrik sehingga 320km dan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,666km.

Sistem Bantuan Pemanduan dan Keselamatan

NX7 turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan yang menggabungkan teknologi Momenta R7 World Model dengan LiDAR.

Sistem itu direka untuk mengenal pasti pelbagai keadaan jalan dan halangan, termasuk objek di kawasan tinggi serta objek rendah.

Ia turut membantu pemandu ketika melalui jalan berliku di kawasan pergunungan dan jalan bandar yang sempit.

Sebanyak 22 teknologi keselamatan canggih ditawarkan, termasuk:

  • Sistem bantuan parkir yang boleh meletakkan kenderaan secara automatik.
  • Automatic Emergency Braking (AEB).
  • Automatic Emergency Steering (AES).

Bagi aspek keselamatan bateri, NX7 menggunakan piawaian Cloud Shield Battery Safety milik Dongfeng Nissan yang menawarkan perlindungan enam dimensi untuk pek bateri.

Struktur badan menggunakan keluli berkekuatan tegangan ultra tinggi kelas 2,000MPa bagi membantu melindungi ruang penumpang dan bateri sekiranya berlaku perlanggaran.

Teknologi Pintar Nissan OS 3.0

Bahagian dalamana menggunakan sistem operasi Nissan OS 3.0 yang dikuasakan pemproses Qualcomm Snapdragon 8295P bersama memori 24GB.

Antara kelengkapan utama ialah skrin tengah 17.3 inci dengan resolusi 3K dan paparan Augmented Reality Head-Up Display (AR-HUD) berukuran 55 inci.

Paparan itu menggabungkan panduan navigasi dengan pandangan pemandu terhadap jalan.

Sistem iFLYTEK Spark Intelligent Cockpit 3.0 pula menyediakan interaksi pelbagai mod dan menyokong bahasa Mandarin serta dialek Kantonis dan Sichuan.

Sistem berkenaan turut direka untuk mempelajari keutamaan pengguna dan memberikan respons berdasarkan pilihan mereka menerusi pelbagai kaedah interaksi.

Kerusi Pintar dan Kelengkapan Keselesaan

Untuk keselesaan penumpang, NX7 menggunakan kerusi AI Zero-Pressure Cloud Blanket Seat 2.0 dengan struktur 11 lapisan.

Kerusi berkenaan dilengkapi 45 sensor kulit dan 19 beg udara pintar untuk mengesan postur penumpang serta melaraskan sokongan pada bahagian pinggang, belakang dan kaki.

Antara kelengkapan keselesaan lain termasuk:

  • Sistem pengudaraan dan pemanas untuk empat kerusi.
  • Bumbung kaca panoramik berukuran 1.8 meter persegi.
  • Peti sejuk dua bukaan berkapasiti 6.33 liter dengan fungsi pemanasan dan penyejukan.
  • Kaca berlamina dua lapisan, tayar rendah bunyi dan rawatan pengurangan bunyi.
  • Teknologi Intelligent Motion-Sickness Prevention 3.0 yang menyelaraskan sistem casis, rangkaian kuasa, kokpit dan bantuan pemanduan.

Harga Nissan NX7 di China

NX7 ditawarkan dalam tiga varian iaitu 320 Pro, 320 Max dan 320 Ultra LiDAR Edition.

Harga masing-masing ialah RMB129,900 (RM80,434), RMB139,900 (RM86,626) dan RMB149,900 (RM92,818).

Kredit gambar: Nissan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here