
Nissan memperkenalkan Rogue Hybrid baharu untuk pasaran Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadi model pertama syarikat itu di negara berkenaan yang menggunakan teknologi e-POWER.
Nissan Rogue Hybrid 2027 menggunakan sistem hibrid e-POWER generasi ketiga yang memacu roda menggunakan motor elektrik.
Sistem ini direka untuk memberikan pemanduan yang lebih lancar, berkuasa dan senyap.
e-POWER diperkenalkan Nissan pada 2016 dan kini memasuki generasi ketiga.
Teknologi e-POWER digunakan pada model Nissan di 68 pasaran seluruh dunia dengan jualan terkumpul kira-kira 2 juta unit.
Untuk pasaran AS, sistem e-POWER pada Rogue Hybrid ditala khusus mengikut keadaan jalan raya dan keutamaan pelanggan di negara berkenaan.
Enjin 1.5 Liter Turbo dan e-4ORCE
Rogue Hybrid menggunakan enjin turbo 1.5 liter tiga silinder yang dibangunkan khusus untuk sistem e-POWER.
Enjin tersebut menghasilkan 148 hp dan tork 232Nm dengan kecekapan terma 42 peratus.
Sistem ini turut menggunakan pacuan semua roda (AWD) elektrik e-4ORCE dengan dua motor dan menjadi ciri standard untuk semua varian.
Kuasa keseluruhan sistem ialah 225 hp, dengan motor elektrik hadapan menghasilkan 202 hp dan tork 329Nm, manakala motor belakang menghasilkan 134 hp dan tork 195Nm.
Sistem e-4ORCE sentiasa mengoptimumkan agihan tork antara motor hadapan dan belakang bagi meningkatkan kestabilan serta prestasi ketika mengambil selekoh.
Rogue Hybrid turut menggunakan fungsi e-Pedal yang membolehkan kenderaan dinyahpecut sehingga berhenti apabila pedal pemecut dilepaskan.
Fungsi Smooth Stop pula mengawal tekanan brek secara automatik sebelum kenderaan berhenti bagi menghasilkan pergerakan berhenti yang lebih lancar.
Bateri hibrid yang digunakan mempunyai kapasiti 1.67 kWj dan menggunakan teknologi litium-ion.
Kecekapan bahan api yang dianggarkan ialah 5.9 liter/100 km (40 mpg) dalam bandar, 6.5 liter/100 km (36 mpg) di lebuh raya dan 6.2 liter/100 km (38 mpg) secara gabungan.
Sebagai perbandingan, Honda CR-V 2027 TrailSport Hybrid AWD untuk pasaran AS menggunakan enjin 2.0 liter Atkinson empat silinder.
Enjin itu menghasilkan 145 hp dan tork 187Nm bersama motor elektrik berkuasa 181 hp dan tork 335Nm.
Sistem dua motor hibrid tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 204 hp.
Penggunaan bahan api mencatatkan 6.2 liter/100 km (38 mpg) dalam bandar, 7.1 liter/100 km (33 mpg) di lebuh raya dan 6.7 liter/100 km (35 mpg) secara gabungan.
Dari segi hantaran kuasa, Rogue Hybrid mengatasi CR-V TrailSport Hybrid dengan output keseluruhan 225 hp berbanding 204 hp.
Kedua-dua model mempunyai isipadu tangki petrol sebanyak 53 liter.
Sistem Maklumat Hibur Dengan Google Gemini
Semua varian Rogue Hybrid dilengkapi skrin sentuh 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Varian Platinum menerima sistem maklumat hibur dwi-paparan 14.3 inci sebagai kelengkapan standard, manakala ia ditawarkan sebagai pilihan pada varian SR.
Sistem berkenaan dilengkapi Google Maps, Google Play Store dan Google Gemini. Varian Platinum turut menerima sistem audio premium Bose 10 pembesar suara.
Pengecas tanpa wayar magnetik Qi2 15W pula ditawarkan pada semua varian. Varian Platinum turut dilengkapi pengecas tanpa wayar.
ProPILOT Assist Lebih Canggih
Rogue Hybrid menerima sistem bantuan pemanduan ProPILOT Assist yang menggunakan radar gelombang milimeter, kamera sudut lebar dan perisian baharu.
Intelligent Cruise Control dipertingkatkan untuk mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan serta berfungsi dengan lebih baik pada kelajuan rendah.
Keupayaan mengesan kenderaan pegun turut dipertingkatkan dengan kelajuan pengesanan 33 peratus lebih pantas berbanding model sebelumnya.
Sistem itu juga menawarkan fungsi pandu tanpa tangan ketika kesesakan trafik serta bantuan pertukaran lorong di lebuh raya.
Direka Untuk Kegunaan Keluarga
Rogue Hybrid dibangunkan dengan tema “Refined and Tough”, menampilkan reka bentuk yang lebih lebar dan berkuasa serta elemen yang mencerminkan estetika Jepun.
Bahagian kabin menawarkan ruang kepala dan ruang kaki tempat duduk hadapan yang dinyatakan sebagai terbaik dalam kelasnya.
Nissan turut menggunakan tempat duduk Zero Gravity dan kaca penebat bunyi bagi meningkatkan tahap kesenyapan serta keselesaan kabin.
Rogue Hybrid juga menjadi model Rogue pertama yang dilengkapi tempat duduk dengan fungsi pengudaraan.
Pintu belakang boleh dibuka sehingga kira-kira 90 darjah, manakala lima cagak LATCH disediakan untuk kerusi kanak-kanak termasuk di tengah tempat duduk belakang.
Perbandingan Dimensi Berbanding Honda CR-V
Dari segi dimensi, Rogue Hybrid mempunyai panjang 4,651 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,720 mm dan jarak roda 2,705 mm.
CR-V TrailSport Hybrid AWD pula berukuran 4,694 mm panjang, 1,867 mm lebar, 1,689 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,700 mm.
Ini bermakna CR-V lebih panjang dan lebar, manakala Rogue Hybrid lebih tinggi dengan jarak roda yang sedikit lebih panjang.
Bagi ruang kargo, Rogue Hybrid menyediakan 881 liter dengan tempat duduk baris kedua pada kedudukan paling hadapan dan sehingga 1,866 liter apabila tempat duduk dilipat.
CR-V TrailSport Hybrid menyediakan 922 liter di belakang baris kedua serta sehingga 1,824 liter dengan tempat duduk baris kedua dilipat.
Harga Rogue Berbanding Honda CR-V
Rogue Hybrid ditawarkan dengan lima pilihan konfigurasi untuk pasaran AS.
Harga bermula AS$35,490 (RM144,657) bagi SV AWD dan meningkat sehingga AS$43,490 (RM177,265) bagi Platinum AWD.
Honda CR-V 2027 TrailSport Hybrid pula bermula dari AS$39,200 (RM159,779).
Pada peringkat awal, hanya varian SR AWD dengan SR Technology Package akan ditawarkan.
Semua varian lain termasuk SV, SR dan Platinum akan menyusul pada awal 2027.
Spesifikasi Nissan Rogue Hybrid 2027
- Enjin: ZR15DDTe, 1.5 liter (1,498 cc), 3-silinder sebaris, DOHC
- Kuasa enjin: 148 hp, 232 Nm
- Motor elektrik hadapan: 202 hp, 329 Nm
- Motor elektrik belakang: 134 hp, 195 Nm
- Kuasa keseluruhan sistem: 225 hp
- Bateri hibrid: Litium-ion 1.67 kWj
- Sistem pacuan: AWD
- Kapasiti tangki bahan api: 53.0 liter
- Suspensi hadapan: Strut bebas dengan spring gegelung
- Suspensi belakang: Multi-link bebas
- Dimensi: 4,651 mm (P) x 1,849 mm (L) x 1,720 mm (T)
- Jarak roda: 2,705 mm
- Kelegaan tanah: 213 mm (SV) / 216 mm (SR, Platinum)
- Kapasiti ruang kargo: 1,866 liter dengan tempat duduk baris kedua dilipat
- Kapasiti ruang kargo: 881 liter dengan tempat duduk baris kedua pada kedudukan paling hadapan
- Kecekapan bahan api bandar: 5.9 liter/100 km (40 mpg)
- Kecekapan bahan api lebuh raya: 6.5 liter/100 km (36 mpg)
- Kecekapan bahan api gabungan: 6.2 liter/100 km (38 mpg)
Kredit gambar: Nissan










































