
Suzuki memperkenalkan dua model motosikal baharu pada pameran EICMA 2026, iaitu Suzuki GSX-10R dan Suzuki SV-7S.
Suzuki GSX-10R merupakan motosikal supersport baharu yang dibangunkan untuk menawarkan pengalaman tunggangan menyeronokkan di jalan raya, termasuk laluan berselekoh dan litar perlumbaan.
Model ini dibangunkan berasaskan prinsip run, turn, stop Suzuki, dengan penggunaan teknologi elektronik untuk meningkatkan prestasi dan bukannya menampung kekurangan dari aspek kejuruteraan.
Pembangunannya turut melibatkan pasukan yang mempunyai pengalaman dalam mereka bentuk dan menunggang motosikal perlumbaan.
Reka Bentuk Supersport
Dari aspek penampilan, Suzuki GSX-10R menampilkan elemen rekaan GSX-R termasuk lampu nyalaan siang LED dan saluran kemasukan udara di bahagian hadapan.
Reka bentuk cowl dioptimumkan menerusi ujian terowong angin berulang kali bagi mengimbangi penampilan dan prestasi aerodinamik.
Bahagian hadapan termasuk cermin penghadang angin menggunakan profil membulat yang menyediakan ruang untuk topi keledar penunggang ketika berada dalam posisi menunduk.
Fairing turut dilengkapi winglet kecil untuk meningkatkan aliran udara, manakala bahagian belakang menampilkan unit pelana bersudut.
Sistem pencahayaan menggunakan LED sepenuhnya dan Suzuki turut memperkenalkan Suzuki Ground Beacon System baharu.
Fungsi ini membantu memperjelas isyarat perubahan arah dengan mengehadkan kawasan permukaan jalan yang diterangi lampu isyarat motosikal.
Enjin Empat Silinder 152PS
Suzuki GSX-10R menggunakan enjin empat silinder sebaris yang menghasilkan kuasa 152PS pada 11,000rpm dan tork maksimum 106Nm pada 9,250rpm.
Enjin ini disesuaikan daripada GSX-R1000 (K5) dan dibekalkan tangki bahan api 18 liter.
Beberapa perubahan dibuat untuk mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan kebolehpercayaan.
Satu lagi yang menarik, enjin ini disediakan untuk penggunaan bahan api berasaskan alkohol pada masa hadapan.
Antara komponen yang diberikan penambahbaikan ialah:
- Sesondol, aci sesondol dan sproket rantai sesondol baharu.
- Kepala silinder, blok silinder dan kotak enjin baharu.
- Jurnal aci engkol baharu.
- Sistem ekzos empat-dalam-satu.
- Sistem klac Suzuki Slipper Clutch Assist untuk operasi tuil lebih ringan dan penukaran gear rendah lebih lancar.
Casis Aluminium dan Suspensi KYB
Pembangunan casis GSX-10R memberikan penekanan kepada pengendalian yang menyeronokkan, sama ada di litar perlumbaan mahupun jalan raya.
Rangka aluminium utama menggunakan reka bentuk straight-line dari kepala stereng hingga pangsi lengan ayun bagi menghasilkan pengendalian tangkas dan cengkaman jalan yang baik.
Antara perubahan pada bahagian casis ialah:
- Steering stem offset dikurangkan daripada 35mm kepada 30mm bagi mengurangkan momen inersia dan meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh.
- Lengan ayun aluminium baharu.
- Subrangka baharu.
- Kedudukan pelana, hendal dan pemijak kaki mengambil inspirasi daripada GSX-R1000R.
Motosikal ini menggunakan roda aluminium tuang bersama tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23 bersaiz 120/70 R17 di hadapan dan 190/55 R17 di belakang.
Sistem brek hadapan menggunakan angkup Brembo dengan cakera berukuran 310mm, selain silinder utama brek hadapan jenis radial.
Suspensi KYB boleh laras sepenuhnya dengan fork hadapan berdiameter 43mm. Penyerap hentak belakang pula dibangunkan khusus untuk GSX-10R.
Ukuran ketinggian pelana ialah 810mm, iaitu 15mm lebih rendah berbanding GSX-R untuk memudahkan lebih ramai penunggang mengendalikan motosikal ini.
Sistem Elektronik Suzuki Intelligent Ride System
Suzuki GSX-10R dilengkapi pakej elektronik komprehensif di bawah sistem Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang menggunakan unit pengukuran inersia enam paksi (six-axis IMU).
Sistem Suzuki Smart TLRS Control menggabungkan empat fungsi utama, iaitu traction, lift, roll torque dan slide control.
Penunggang boleh memilih daripada 10 tetapan, dengan nombor lebih rendah memberikan tahap campur tangan sistem yang lebih minimum.
Fungsi utama sistem ini merangkumi:
- Roll torque control mengira sudut kecondongan dan kelajuan motosikal untuk menentukan tahap kuasa enjin yang sesuai.
- Slide control mengurus peringkat awal gelinciran tayar, manakala sistem kawalan cengkaman memberikan campur tangan lebih ketara sekiranya keadaan gelinciran semakin sukar dikawal.
- Lift control mengurus pergerakan roda hadapan ketika motosikal melakukan wheelie berdasarkan maklumat daripada sensor kelajuan enjin, pendikit, kedudukan gear, suis klac dan IMU.
Pakej elektronik turut merangkumi:
- Tiga mod kuasa enjin dengan kuasa maksimum sama tetapi pemetaan pendikit semakin lembut mengikut pilihan.
- Sistem ABS sensitif sudut kecondongan.
- Quickshifter dua hala.
- Tiga pilihan tetapan brek enjin.
- Kawalan jelajah (cruise control).
- Penghad kelajuan aktif.
- Kawalan pelancaran (launch control).
Satu lagi ciri baharu ialah sistem brake hold yang berfungsi di permukaan rata, cerun menurun dan mendaki.
Apabila motosikal berhenti, sistem menggunakan data IMU untuk mengekalkan tekanan brek belakang secara automatik selama 30 saat, walaupun tuil brek sudah dilepaskan.
Ciri ini membantu penunggang memulakan perjalanan semula dengan lancar tanpa motosikal mengundur.
Sistem akan dinyahaktifkan apabila tuil brek hadapan ditekan dua kali dengan pantas atau motosikal mula bergerak ke hadapan.
Turut disediakan sistem easy start yang membolehkan enjin dihidupkan dengan sekali tekan butang penghidup.
Low RPM assist meningkatkan putaran enjin ketika tuil klac dilepaskan bagi mengurangkan risiko enjin mati ketika mula bergerak.
Skrin TFT dan Sambungan Telefon Pintar
Semua maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT berwarna yang ditempatkan di belakang fairing hadapan.
Suzuki GSX-10R turut menyokong sambungan telefon pintar menerusi aplikasi Suzuki Ride Connect+.
Antara fungsi yang ditawarkan ialah navigasi, pemberitahuan masuk, maklumat cuaca dan pelbagai amaran lain.
Satu soket USB-C turut disediakan di sisi panel instrumen.
Warna dan Pasaran
Suzuki GSX-10R ditawarkan dalam tiga pilihan warna:
- Pearl Vigor Blue dan Metallic Mystic Silver dengan riasan merah.
- Pearl Pulse Red dan Solid Iron Grey.
- Glass Sparkle Black dan Metallic Galaxy Grey.
Model ini dijadualkan mula ditawarkan di Eropah pada musim panas 2027 (Jun hingga Ogos).







































