
Suzuki Jepun akhirnya mendedakan imej dan butiran rasmi model kei car elektrik terbaharu e Sky (2027).
Ia secara asasnya merupakan versi produksi kepada konsep Vision e-Sky dan mengekalkan sebahagian besar elemen yang ada pada model tersebut.
Suzuki e Sky akan mula dijual di Jepun pada musim luruh 2026, dan bakal ke pasaran Eropah dan Uk pada tahun 2027.
Ini juga merupakan EV ketiga Suzuki selepas model SUV kompak e Vitara dan juga kei van elektrik e Every.
Untuk model e Sky, ia kini menampilkan lampu LED yang lebih besar, panel trim hitam menggantikan konsep jeriji bercahaya, rim yang lebih kecil serta pemegang pintu konvensional.
Namun, ia masih mengekalkan bumbung terapung dan trim badan berwarna pada tiang-C.
Bahagian belakang pula terdapat lampu belakang LED yang lebih besar, pemegang tailgate yang kelihatan, serta cladding bampar belakang berwarna badan.
Ia membawakan ukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda 2,460 mm, selari dengan regulasi kei car di Jepun.
Ruang kabin pula menampilkan penggunaan bahan yang lebih praktikal dan murah untuk diproduksikan.
Antara ciri yang ditampilkan termasuklah skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tuil gear automatik tradisional, panel kawalan iklim berasingan, serta dulang praktikal pada papan pemuka.
Selain itu, terdapat juga kemudahan seperti pemanas tempat duduk dan stereng, brek parkir elektronik, serta pam haba elektrik untuk musim sejuk.
Dibina berdasarkan platform Heartect e, e Sku dipacu dengan e-Axle pacuan depan yang menggabungkan motor elektrik, penyongsang dan juga gear.
Bateri pula menggunakan unit lithium iron phosphate 26 kWh dengan jarak pandu sejauh 310 km.
Jarak mengkagumkan ini dapat dicapai menerusi aspek aerodinamik yang lebih baik, dan berat keseluruhan cuma 1,030 kg.
Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan jarak pandu sejauh 320 km dan mempunyai berat sehingga 1,230 kg.
Dari segi pengecasan, pemilik boleh menggunakan pengecas dinding 6 kW dengan pengecasan penuh sekitar 4.5 jam.
Sementara pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri dicas sehingga 80% dalam masa 25 minit sahaja.
Suzuki e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) menerusi outlet kuasa AC 100V/1,500W.
Di Jepun, Suzuki e Sky akan bersaing dengan kei car elektrik lain seperti Nissan Sakura EV, Mitsubishi eK X EV, Honda N-One e: dan tidak ketinggalan BYD Racco.


































