
Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan Suzuki e VITARA di Malaysia, sekali gus menandakan kemunculan model kenderaan elektrik (EV) pertama dalam sejarah global jenama Jepun itu.
Pelancaran model berkenaan membuka lembaran baharu buat Suzuki dalam perjalanan elektrifikasinya, dengan Malaysia menjadi antara pasaran terawal di rantau ini menerima SUV elektrik berkenaan.

Bagi fasa pertama, Suzuki e VITARA akan ditawarkan dalam jumlah unit terhad bagi memberi peluang kepada pelanggan terawal menjadi antara pemilik perintis model EV pertama Suzuki di Malaysia.
Menariknya, 10 pembeli pertama bakal menerima pengecasan EV percuma selama lima tahun di pusat servis dan pengedar terpilih, tertakluk kepada syarat dan terma ditetapkan.

Suzuki e VITARA dibangunkan menggunakan platform khusus EV baharu dikenali sebagai HEARTECT-e yang direka untuk menempatkan bateri secara lebih efisien tanpa menjejaskan ruang kabin.
Model ini dibangunkan berdasarkan falsafah Emotional Versatile Cruiser, menggabungkan teknologi elektrifikasi moden bersama ciri praktikal dan ketahanan yang sinonim dengan jenama Suzuki.

SUV elektrik ini menggunakan sistem eAxle baharu yang menggabungkan motor elektrik, inverter dan unit pengurangan gear dalam satu modul kompak dan cekap.
Kuasa disalurkan menerusi motor elektrik tunggal yang menghasilkan 172hp dan 193Nm tork bersama bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 61kWh, membolehkan e VITARA mencapai jarak pemanduan sehingga 426km bagi sekali cas penuh.

Bagi tujuan pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 45 minit, bergantung kepada kapasiti pengecas digunakan.
Pengecasan AC menggunakan pengecas 7kW pula memerlukan kira-kira sembilan jam untuk mengecas bateri daripada 10 hingga 100 peratus.

Pemandu boleh memilih antara tiga mod pemanduan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT bergantung kepada keadaan jalan dan keutamaan penggunaan tenaga.
Pendekatan ini membolehkan pemandu memilih sama ada untuk memaksimumkan jarak perjalanan atau mendapatkan respons pemanduan lebih pantas.

Dari segi penampilan, e VITARA menampilkan identiti rekaan baharu Suzuki yang diinspirasikan dari konsep Metal Beast dengan gabungan elemen futuristik dan imej SUV lasak.
Antara ciri menonjol termasuk lampu hadapan tiga elemen LED, arca badan berotot, gerbang roda besar serta rim aloi 18 inci dibalut tayar bersaiz 225/55.

SUV elektrik ini mempunyai ukuran panjang 4,275mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,635mm bersama jarak roda 2,700mm.
Walaupun bersaiz kompak untuk kegunaan bandar, e VITARA masih menawarkan ruang kargo sehingga 306 liter selain konfigurasi tempat duduk sangat fleksibel untuk kegunaan harian.

Ruang dalaman menampilkan pendekatan lebih moden menerusi penggunaan Integrated Display System yang menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen dalam satu panel besar.
Turut disediakan pengecas telefon tanpa wayar Qi, port USB-A dan USB-C depan serta belakang, konsol tengah terapung dan sistem pemilih gear elektronik jenis shift-by-wire.

Suzuki turut menggunakan gabungan kemasan piano hitam, perincian warna perak gelap serta upholsteri baharu bagi memberikan suasana lebih premium berbanding model Suzuki sebelum ini.
Tempat duduk pula menggunakan kombinasi material sintetik berlubang dan kemasan kulit sintetik yang memberikan keseimbangan antara ketahanan dan keselesaan.

Dari aspek keselamatan, e VITARA dilengkapi pakej bantuan pemandu termaju termasuk Dual Sensor Brake Support II, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan Blind Spot Monitor.
Turut disediakan Rear Cross Traffic Alert, Adaptive High Beam, Multiple Collision Braking serta sistem kamera 360 darjah dengan paparan pandangan atas bagi memudahkan parkir dan manuver pada kelajuan rendah.

Setiap pembelian Suzuki e VITARA didatangkan dengan waranti kenderaan lima tahun tanpa had perbatuan, selain waranti komponen EV selama lima tahun atau 100,000km.
Bateri pula dilindungi menerusi waranti selama lapan tahun atau 160,000km bagi memberikan keyakinan tambahan kepada pelanggan yang beralih kepada mobiliti elektrik.

Naza Eastern Motors juga memperkenalkan pakej waranti lima tahun tanpa had perbatuan untuk beberapa model Suzuki terpilih di Malaysia.
Antara model yang menerima keistimewaan itu adalah Suzuki Jimny AllGrip Pro, Suzuki Jimny Rhino Plus, Suzuki Fronx dan Suzuki Fronx Sport yang sebelum ini ditawarkan dengan perlindungan tiga tahun atau 100,000km.

Suzuki e VITARA ditawarkan pada harga bermula RM188,000 atas jalan tanpa insurans dan tersedia dalam lima pilihan warna termasuk Celestial Blue Pearl Metallic dan Land Breeze Green Pearl Metallic.
Kemunculan e VITARA daripada Suzuki ini secara rasmi bakal menyaksikan persaingan secara langsung dengan beberapa SUV elektrik segmen-B yang sedia berada berkembang di pasaran tempatan.































