
Naza Eastern Motors menandakan lembaran baharu bagi Suzuki di Malaysia dengan pelancaran kenderaan elektrik bateri (BEV) yang pertama jenama tersebut, Suzuki e VITARA.
Didatangkan dengan lima pilihan warna badan, Suzuki e VITARA serba baharu ini ditawarkan pada harga bermula daripada RM188,000 (atas jalan tanpa insurans).
Menggunakan sistem eAxle baharu, ia dilengkapi dengan bateri 61kWh dan motor tunggal yang menghasilkan kuasa 128kW (172hp) serta tork 193Nm. Dengan pengecasan bateri penuh mampu menawarkan jarak tempuh sejauh 426km.
Keselesaan pengendalian dilengkapkan dengan tawaran tiga mod pemanduan Eco, Normal dan Sport.
Di samping itu, e VITARA menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 45 minit.
Manakal, pengecasan AC 7kW membolehkan isian bateri daripada 10 hingga 100 peratus dalam tempoh kira-kira 9-jam.
Dibangunkan di bawah konsep DNA reka bentuk “High-Tech & Adventure”, e VITARA membawakan reka bentuk berani dan tersendiri yang diispirasikan oleh konsep “Metal Beast”.
Penampilan luaran diserlahkan menerusi arca roda yang berotot, rim 18-inci, serta reka bentuk bahagian hadapan yang berani menerusi rekaan seumpama bentuk heksagon dan elemen lampu matriks tiga titik yang ikonik.
Ia memiliki panjang 4,275 mm, lebar (1,800 mm), tinggi (1,635 mm) dan jarak roda sepanjang 2,700 mm serta ruang kargo sehingga 306 liter.
Kabin e VITARA memperkenalkan reka bentuk dalaman Suzuki generasi baharu menerusi kemasan upholsteri jersi Melange baharu, aksen warna hitam piano, kemasan perak gelap berkilat, serta perincian geometri yang bertekstur.
Penggunaan pelbagai bahan, termasuk kulit sintetik berlubang dan kulit sintetik berwarna coklat mewujudkan suasana moden namun lasak.
Antara tarikan utama ialah Sistem Paparan Berintegrasi (IDS) yang menggabungkan kluster instrumen dan paparan infotaimen ke dalam satu unit, sekali gus menyediakan akses intuitif kepada maklumat kenderaan, kawalan pendingin hawa, dan ciri-ciri ketersambungan.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah stereng dua jejari baharu berbentuk segi empat bulat, konsol tengah jenis terapung dengan kawalan shift-by-wire, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, soket ACC hadapan, dan empat port USB (jenis A dan C).
Demi ketenangan minda pemilik, Suzuki e VITARA didatangkan dengan rangkaian sistem keselamatan termaju dan bantuan pemandu yang komprehensif termasuklah:
- Dual Sensor Brake Support II (DSBS II)
- Multiple collision braking
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Kawalan Kruise Adaptif (ACC)
- Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS)
- Bantuan lampu tinggi
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA)
- Struktur badan menyerap impak
- Badan kenderaan yang mengurangkan kecederaan pejalan kaki
- Beg udara SRS
- Teknologi Kawalan Efektif Keseluruhan (TECT)
Model e VITARA ini juga dilengkapi dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan pandangan atas dan pandangan paras mata, yang memberikan jarak penglihatan serta keyakinan yang lebih tinggi semasa parkir dan melalui lorong sempit.
Memandangkan e VITARA diperkenalkan dalam unit yang terhad untuk fasa pertama ini, pelanggan yang berminat digalakkan untuk mendaftarkan minat lebih awal bagi menjadi pemilik terawal.
Setiap pembelian Suzuki e VITARA disokong oleh waranti kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, waranti komponen BEV selama lima tahun/100,000 km, dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.
Selain itu, 10 pembeli pertama akan menerima kemudahan pengecasan EV percuma selama lima tahun di pengedar terpilih (tertakluk kepada terma dan syarat).




