
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempertanyakan mengapa negara berkenaan masih belum memiliki jenama motosikal dan kereta nasional walaupun telah 81 tahun merdeka.
Beliau berkata Indonesia menjual sekitar 10 juta motosikal setiap tahun tetapi masih tidak memiliki kilang pengeluaran buatan tempatan.
“Kenapa kita tidak punya, kita beli mobil, kita beli 10 juta motor tiap tahun, kenapa tidak ada kilang buatan Indonesia?,” kata Prabowo baru-baru ini yang menyuarakan kebimbangan tentang tahap berdikari industri nasional.
Menurutnya, beliau sering mengunjungi universiti dan berbincang dengan ahli akademik untuk mencari jawapan mengapa Indonesia masih bergantung pada negara lain bagi sejumlah sektor strategik.
“Saya selalu minta mereka, kenapa Indonesia setelah 81 tahun tidak bisa bikin mobil buatan sendiri?,” jelasnya.
Prabowo berkongsi memiliki kepuasan tersendiri setelah dilantik sebagai Presiden dan dapat menggunakan Maung MV3 Garuda Limousine iaitu SUV buatan lokal oleh Pindad.
Menurut Prabowo, Maung MV3 Garuda Limousine masih belum sepenuhnya menggunakan komponen lokal. Namun, beliau mengatakan tidak ada kereta di dunia yang seluruh komponennya berasal dari satu negara.
Kerana itu, kandungan tempatan sekitar 65 hingga 70 peratus sudah boleh diiktiraf sebagai kenderaan buatan lokal.
“Saya pulang dari pelantikan saya bisa naik mobil buatan Indonesia. Desainnya Indonesia, dibuat di Indonesia, tidak 100 peratus, dan tidak ada mobil di dunia yang 100 peratus produknya dari satu negara. Tapi kalau 65 hingga 70 peratus itu sudah boleh kita klaim buatan Indonesia,” ujarnya.
Prabowo menyatakan bahawa implikasi daripada komitmennya terhadap produk tempatan adalah dengan menggunakan kereta buatan Indonesia sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Presiden.
Beliau turut berkongsi cerita bahawa kenderaan tersebut pernah mengalami masalah kebocoran sewaktu hujan lebat pada peringkat awal penggunaannya.
“Risikonya sekarang sepanjang saya menjadi presiden, ya (saya) perlu menaiki kereta buatan Indonesia. Pada bulan-bulan pertama itu agak mencabar, terutamanya jika hujan lebat. Kalau hujan lebat, sempat bocor juga kereta itu,” katanya.
Beliau kemudian meminta Pengarah Urusan Pindad, Sigit untuk membaiki kekurangan tersebut. Menurut Prabowo, masalah sedemikian merupakan sebahagian daripada proses pembangunan produk nasional dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berhenti membina industri dalam negara.
“Tetapi saya pulangkan (kepada beliau), (saya kata) ‘Profesor Sigit, bagaimana ini kereta Presiden boleh bocor?. Baiki..tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita bermula, kita mesti berani untuk bermula,” ujarnya.

































