
Kilang BYD Indonesia diserbu oleh pertubuhan masyarakat (ormas) yang menuntut pihak syarikat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat lokal walaupun sudah menggaji ribuan pekerja tempatan di kemudahan tersebut.
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan sekumpulan individu yang dipercayai sebagai anggota ormas menuntut keutamaan diberikan kepada tenaga kerja tempatan, di samping meminta BYD menilai semula kerjasama berkaitan izin tata ruang dan sisa pengeluaran.
Kilang BYD di Subang dirasmikan pada September lalu yang mana sebelum ia beroperasi, kemudahan tersebut juga pernah berdepan gangguan daripada pihak ormas dan premanisme pada tahun lalu.
Naib Presiden BYD Co. Ltd., Liu Xueliang mendedahkan bahawa kilang dengan nilai pelaburan sebanyak IDR11.7 trilion (RM3.2 bilion) itu telahpun menyerap 5,000 pekerja tempatan.
Beliau turut melahirkan penghargaan yang tinggi terhadap para pekerja dari Indonesia yang dinilai memiliki dedikasi serta ketekunan yang tinggi dalam menguasai teknologi pembuatan kenderaan elektrik.

“Tenaga kerja di Indonesia 5,000 orang lebih, staf Indonesia sangat rajin dan tekun dalam melakukan pekerjaan,” ucap Liu semasa majlis perasmian.
Pada masa hadapan, selaras dengan peningkatan skala pengeluaran dan kapasiti kilang yang mencecah tahap maksimum, pihak BYD meletakkan sasaran penyerapan tenaga kerja yang lebih ramai.
Kilang di Subang berkenaan dijangka mampu membuka peluang pekerjaan sehingga 20,000 tenaga kerja tempatan untuk menyertai keluarga besar BYD.
“Kilang ini apabila sudah mencapai kapasiti pengeluaran maksimum, sasaran kami adalah 20,000 pekerja Indonesia yang boleh bergabung,” tambah beliau.
Bukan sekadar penyerapan tenaga kerja tempatan, kilang BYD ini juga diharapkan mampu merancakan industri komponen tempatan.
Ini kerana keseluruhan proses pembuatan di kilang Subang dijalankan langsung di dalam negara secara menyeluruh.




