
Indonesia akan mula meneroka sumber bekalan bahan bakar minyak (BBM) ke negara lain dalam usaha mengurangkan kebergantungan import dari Singapura.
Menteri Koordinator Bidang Hilirisasi dan Transisi Energi merangkap Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM), Bahlil Lahadalia berkata beliau akan mengadakan lawatan ke beberapa negara, termasuk India dan China bagi memastikan ketersediaan bekalan tenaga untuk Indonesia.
“Mulai esok (27 Oktober) saya akan berlepas ke beberapa negara termasuk India, China dan beberapa negara lain untuk saya mendapatkan kepastian bekalan,” katanya pada sidang akhbar, Isnin.
Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan tindakan susulan atas arahan Presiden Prabowo Subianto untuk menjamin kontrak bekalan tenaga dalam jangka panjang.
Menerusi langkah itu, kerajaan berhasrat memastikan ketersediaan BBM nasional di samping memperluaskan pilihan negara pembekal, agar Indonesia tidak lagi bergantung semata-mata kepada bekalan dari Singapura.
Menurut Bahlil, Indonesia selama ini masih mengimport RON 90 atau Pertalite dari negara jiran tersebut.
“Indonesia juga tahu bahawa kita mengimport BBM RON 90 yang tadi disampaikan dari negara jiran,” katanya.
Jaminan Bekalan & Harga BBM Subsidi

Meskipun sedang mencari pembekal alternatif, Bahlil memberi jaminan bahawa keadaan rizab BBM nasional kekal terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga BBM bersubsidi. Bahlil meminta orang ramai agar tidak bimbang terhadap ketersediaan mahupun harga petrol bersubsidi.
“Rakyat Indonesia tenang, InsyaAllah saya memberikan jaminan atas arahan perintah Presiden Prabowo, bahawa rizab BBM kita dalam piawaian minimum nasional dan harga tidak akan naik untuk BBM subsidi,” jelasnya.
Seterusnya, Bahlil menambah bahawa kerajaan telah pun mengambil kira pelbagai risiko berkaitan dasar tenaga Indonesia, termasuklah mengurangkan eksport gas asli ke Singapura walaupun Indonesia masih bergantung kepada import Pertalite dari negara berkenaan.
Kerajaan memotong bekalan gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit termal British sehari (billion British thermal unit per day / BBTUD) bermula 24 Oktober 2026.





























