Utama Berita Automotif 33 Aduan Kereta ‘Rosak’ : KPDN ambil lapan sampel petrol

33 Aduan Kereta ‘Rosak’ : KPDN ambil lapan sampel petrol

9

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima sebanyak 33 aduan berkaitan masalah kenderaan selepas mengisi bahan api melibatkan 30 stesen minyak. 

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata setakat ini lapan sampel petrol daripada stesen minyak serta kenderaan atau bengkel milik pengadu terawal telah diambil untuk tujuan analisis.

“Bagi lapan pengadu terawal, kita sudah mengambil sampel minyak dari stesen serta kenderaan mereka untuk dihantar bagi analisis.

“Sampel tambahan turut diambil dari depoh berkenaan bagi membantu siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pencemaran atau masalah terhadap bahan api terbabit,” jelasnya. 

Tambah beliau, keputusan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia dijangka mengambil masa kira-kira sebulan, bergantung kepada proses pemeriksaan yang dijalankan.

Bagaimanapun, KPDN cuba mendapatkan keputusan lebih awal berkemungkinan dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Namun, ia bergantung kepada Jabatan Kimia dan pihaknya enggan memberi tekanan berikutan analisis perlu dijalankan secara terperinci.

ADUAN CAMPURAN DALAM BAHAN API

Beliau berkata, terdapat pengadu yang mendakwa kenderaan mengalami kerosakan selepas mengisi petrol termasuk mendakwa berlaku kerosakan kekal pada kenderaan.

“Jenis aduan yang diterima berbeza-beza, namun secara keseluruhannya mereka mengesyaki berlaku gangguan atau campuran pada bahan api selepas mengisi minyak.

“Bagaimanapun, kita belum boleh membuat sebarang kesimpulan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurut Jegan, pemeriksaan terhadap stesen minyak dilakukan susulan setiap aduan yang diterima dan bukan secara rawak.

“Setiap aduan yang diterima perlu kita siasat secara berasingan. Cuma jika terdapat aduan berulang membabitkan stesen sama, kita tidak perlu mengambil sampel berkali-kali.

“Sebaliknya, sampel daripada setiap pengguna yang membuat aduan akan kita dapatkan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di depoh juga penting bagi mengesan sebarang kemungkinan pencemaran sebelum bahan api dihantar ke stesen minyak.

Dalam pada itu, Jegan menasihatkan pengguna supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau menuding jari kepada mana-mana jenama minyak sehingga keputusan analisis diperoleh.

KETUMPATAN AIR & MINYAK BERBEZA

Sementara itu, Jurucakap Depoh Chevron, Michael Keh berkata pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap tangki penyimpanan bawah tanah di stesen minyak serta tangki simpanan depoh bagi memastikan tiada kehadiran air dalam bahan api.

Katanya, air dan petrol mempunyai ketumpatan berbeza dan kedua-duanya akan berpisah sekiranya bercampur.

“Air dan petrol boleh bercampur tetapi disebabkan perbezaan ketumpatan antara minyak dan air, kedua-duanya akan berpisah selepas satu tempoh.

“Sepatutnya tiada air dalam tangki. Kami memeriksa tangki bawah tanah di stesen minyak serta tangki simpanan di depot ini.Sekiranya terdapat air, ia perlu dikeluarkan dengan proses saliran di bahagian bawah tangki,” katanya.

Bagaimanapun, Michael berkata, hasil pemeriksaan setakat ini mendapati tiada kehadiran air dalam tangki yang diperiksa di depoh berkenaan.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here