
Jenama mewah China, Li Auto akan memasuki pasaran Thailand menjelang penghujung tahun 2026, menurut jabatan perhubungan awam global syarikat tersebut.
Thailand akan menjadi salah satu pasaran pemanduan kanan (RHD) terawal bagi pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Beijing itu bersama Macau dan Singapura.
Bagaimanapun, syarikat masih tidak mendedahkan senarai model yang akan dibawa masuk namun Li Auto sebelum ini telah mengesahkan komitmennya untuk melancarkan dua model RHD iaitu sebuah MPV Mega dan SUV i6.
Li Auto Mega merupakan sebuah kenderaan bersaiz besar dengan dimensi panjang 5,350mm, lebar (1,965mm) dan tinggi (1,850mm) serta jarak roda mencecah 3,300mm. Sebagai perbandingan, ukurannya hanya 20mm lebih pendek berbanding Mercedes-Benz V-Class.
Mega dilengkapi rim bersaiz 18 inci dengan pekali seretan 0.215 Cd. Ia merupakan MPV tujuh tempat duduk dengan susunan 2+2+3. Tempat duduk barisan pertama dan kedua mempunyai fungsi urutan 16-titik, manakala konsol tengahnya dilengkapi dua skrin paparan bersaiz 15.7 inci.
Li Auto Mega dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa 400 kW (536 hp) dengan pek bateri ternari NMC berkapasiti 102.7 kWh. Manakala jarak tempuhnya pula mencapai 710 km (CLTC) dengan sekali cas penuh.
Sementara itu, Li Auto i6 merupakan SUV lima kerusi yang didatangkan dengan dua skrin bersaiz 15.7 inci dan paparan head up 16.8 inci.
Varian RWD memiliki single e-motor pada gandar belakang berkuasa 250 kW (325 hp) manakala varian 4WD didatangkan dengan tambahan e-motor di depan berkuasa 150 kW (201 hp).
Gabungan output menghasilkan kuasa 400 kW (536 hp) dengan pecutan 0-100kmj hanya mengambil masa 4.5 saat. Padanan bateri LFP 87.3 kWh menawarkan jarak pemanduan antara 660km hingga 720km (CLTC).






