Utama Berita Automotif Honda ADV160 Trico rasmi lancar, harga RM14,149

Honda ADV160 Trico rasmi lancar, harga RM14,149

21

Boon Siew Honda secara rasmi memperkenalkan Honda ADV160 Trico Edition untuk pasaran Malaysia pada harga RM14,149 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

Model edisi khas itu menampilkan kombinasi warna ikonik merah, putih dan biru yang sinonim dengan jentera perlumbaan Honda, dan ditawarkan RM500 lebih tinggi berbanding varian standard ADV160 RoadSync yang dijual pada harga RM13,649.

Setiap pembelian Trico Edition akan disertakan dengan :

  • fon telinga JBL
  • balaclava Motowolf

Selain Trico Edition, Honda turut menawarkan ADV160 dalam kemasan Matte Grey dan Brown, manakala satu lagi edisi khas iaitu ADV160 Spiderman Edition turut dijual pada harga sama iaitu RM14,149.

Dibangunkan berasaskan ADV160 RoadSync, Trico Edition tidak menerima sebarang perubahan mekanikal dan mengekalkan spesifikasi serta kelengkapan yang sama seperti model standard.

Dari segi rangkaian kuasa, skuter berkenaan menggunakan enjin satu silinder eSP+ berkapasiti 156.9cc penyejukan cecair dengan konfigurasi empat injap, mampu menghasilkan kuasa maksimum 16 kuasa kuda (PS) pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Newton-meter (Nm) pada 6,500 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan transmisi automatik V-Matic yang menghantar kuasa ke roda belakang.

Seperti model sedia ada, ADV160 Trico Edition dilengkapi Idling Stop System yang membantu mengurangkan penggunaan bahan api apabila motosikal berhenti, dengan enjin dimatikan secara automatik dan dihidupkan semula apabila pendikit dipulas.

Bagi bahagian casis, skuter itu menggunakan roda bersaiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang bersama tayar 110/80 dan 130/70 yang kemudian disokong dengan fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak Showa dengan tabung di belakang.

Manakala sistem brek menggunakan cakera hidraulik pada kedua-dua roda dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada roda hadapan.

Model berkenaan mempunyai ketinggian tempat duduk 780mm, jarak kelegaan tanah 165mm, jarak antara roda 1,324mm dan berat keseluruhan 133kg, dengan kapasiti tangki bahan api 8.1 liter yang sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Dari segi kelengkapan elektronik, ia menerima panel instrumen TFT berwarna bersaiz lima inci yang menyokong sambungan telefon pintar melalui Honda RoadSync bagi memudahkan penunggang mengakses fungsi berkaitan telefon ketika menunggang.

Antara kelengkapan lain termasuk :

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • kunci pintar
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • soket pengecas USB Type-C
  • Emergency Stop Signal (ESS)
  • ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here