Utama Berita Automotif “Saya bos dia,” majikan Bangladesh ingin ambil kereta ditahan JPJ

“Saya bos dia,” majikan Bangladesh ingin ambil kereta ditahan JPJ

10

Kedatangan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh bersama wanita tempatan menimbulkan ketegangan apabila ingin mengambil kenderaan yang ditahan dalam Ops Pewa, pada Khamis.

Individu tersebut yang mengakui sebagai majikan didapati tidak berpuas hati selepas pekerja warga Bangladesh itu ditahan ketika memandu Toyota Unser.

“Saya bos dia. Dia ada permit, saya mahu ambil kereta dia bawa tadi. Dia cuma bawa sekejap mahu pergi ‘car wash’ saja. Sekejap saja,” katanya

Bagaimanapun, majikan terbabit terdiam selepas anggota operasi memaklumkan pekerjanya tiada lesen memandu sebelum beredar dengan rasa tidak berpuas hati.

Operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas terutamanya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Manakala, seorang lelaki warga India yang ditahan berkata menerima upah RM60 sehari sebagai penghantar tong gas di kedai runcit. 

“Saya tahu salah tiada lesen, pasport pula ada pada bos. Bos bayar RM60 sehari, setiap trip ada komisen RM2 macam itu,” kata yang menunggang Honda EX5 itu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata 47 kenderaan disita membabitkan motosikal, kereta dan kenderaan barangan selain 273 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Keseluruhan yang ditahan membabitkan pemandu, pembonceng serta kelindan ialah seramai 58 orang antaranya membabitkan warga Myanmar, Kemboja, India, Pakistan, Bangladesh serta Indonesia.

“Semua kenderaan yang terlibat akan disita dan kes akan dibawa ke mahkamah sehingga selesai,” katanya.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here