
Taktik licik seorang lelaki Rohingya yang menyewa sebuah motosikal daripada penduduk tempatan pada kadar RM200 sebulan terbongkar dalam Ops Pewa yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video pendek di akaun media sosial rasmi JPJ Kelantan, anggota penguat kuasa yang menyoal pemegang kad UNCHR itu mendapati telah menggunakan kapcai terbabit selama setahun.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Pegawai JPJ yang bertugas di lokasi kejadian turut memberi amaran dan penjelasan tegas mengenai implikasi perundangan terhadap pemilikan harta serta pemanduan tanpa lesen.
“Tak ada lesen lagi. Okey, you punya kad, you punya kad ni you tidak boleh memiliki apa-apa kenderaan, apa-apa harta dalam Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan. You lesen tak ada. Ini roadtax motor. Hidup ke tak hidup?,” tegas pegawai JPJ berkenaan.
Walaupun pemeriksaan dokumen mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) masih sah, tindakan pemilik tempatan yang menyerahkan atau menyewakan kenderaan berkenaan kepada individu yang tidak mempunyai lesen tetap mengundang risiko perundangan.
Sebarang tindakan membiarkan, membenarkan atau menyewakan kenderaan kepada mana-mana individu tanpa lesen termasuk warga asing merupakan satu kesalahan besar di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ Negeri Kelantan menegaskan bahawa operasi khas Ops Pewa serta pemantauan bersepadu akan terus dipergiatkan dari masa ke semasa bagi membanteras salah laku warga asing serta memburu pemilik tempatan yang bersubahat demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain.





























