Utama Berita Automotif Mitsubishi Xforce tawar jaminan nilai jualan semula hingga 60 peratus

Mitsubishi Xforce tawar jaminan nilai jualan semula hingga 60 peratus

5

Mitsubishi Motors Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, memperkenalkan kempen Mitsubishi Xforce Guaranteed Resale Value (GRV) yang menawarkan jaminan nilai jualan semula sehingga 60 peratus selepas tempoh pemilikan lima tahun.

Inisiatif itu diperkenalkan bagi memberikan lebih keyakinan kepada pembeli terhadap nilai kenderaan mereka pada masa hadapan, selain menawarkan pilihan lebih fleksibel apabila tiba masa untuk menukar kereta.

Kempen dengan kerjasama Maybank dan Maybank Islamic Berhad itu terhad kepada 200 pelanggan pertama yang layak.

Menerusi program berkenaan, pelanggan boleh menikmati nilai jualan semula terjamin sebanyak 60 peratus daripada harga atas jalan (OTR) jika menjual semula Xforce kepada Mitsubishi dan membeli sebuah lagi model Mitsubishi.

Jika pelanggan memilih untuk menjual semula kenderaan tanpa membeli model Mitsubishi baharu, nilai GRV yang ditawarkan ialah 45 peratus.

Pelanggan mempunyai dua pilihan apabila tempoh pemilikan memasuki tahun kelima, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

Pilihan pertama ialah Enhanced GRV sebanyak 60 peratus dengan syarat pelanggan menjual Xforce kepada MMM dan membeli sebuah lagi kenderaan Mitsubishi.

Pilihan kedua pula menawarkan Standard GRV sebanyak 45 peratus tanpa kewajipan membeli model baharu daripada jenama berkenaan.

Bagaimanapun, pelanggan tidak diwajibkan menggunakan kemudahan GRV tersebut dan masih bebas untuk terus memiliki Xforce atau menjualnya sendiri kepada pihak lain.

Selain jaminan nilai jualan semula, kempen ini turut disertakan pakej servis percuma upah selama lima tahun serta waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had, tertakluk kepada terma dan syarat berasingan.

Dari segi produk, Mitsubishi Xforce dilengkapi empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, selain sistem Active Yaw Control (AYC) yang membantu mengawal kestabilan kenderaan ketika mengambil selekoh.

Ia turut mempunyai jarak kelegaan bumi setinggi 222mm bagi memudahkan pemanduan merentasi permukaan jalan yang tidak rata.

Aspek keselamatan pula disokong teknologi Mitsubishi Motors Safety Sensing yang merangkumi pelbagai sistem bantuan pemandu aktif (ADAS), bergantung pada varian.

Untuk keselesaan keluarga, Xforce menawarkan ruang kabin luas dengan tempat duduk belakang yang boleh dilaraskan sehingga lapan tahap.

Sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium turut disediakan, manakala sistem penyaman udara dwi-zon dengan teknologi nanoe™ X membantu mewujudkan persekitaran kabin yang lebih selesa.

Antara kelengkapan praktikal lain termasuk pintu but belakang berkuasa dengan fungsi Kick Motion, ruang penyimpanan serba guna serta sambungan telefon pintar.

Dari sudut pemilikan pula, Mitsubishi mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pasaran tempatan dengan rangkaian selepas jualan yang merangkumi 60 pusat servis sah di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata, pemilihan kenderaan bukan sekadar bergantung kepada ciri yang ditawarkan di bilik pameran, tetapi turut melibatkan pengalaman penggunaan harian serta sokongan sepanjang tempoh pemilikan.

Menurut beliau, Xforce menggabungkan keyakinan pemanduan, keselesaan dan kemudahan, manakala pengenalan GRV sehingga 60 peratus selepas lima tahun memberikan satu lagi jaminan kepada pelanggan berhubung nilai kenderaan mereka pada masa hadapan.

Kempen ini dibuka kepada 200 pelanggan pertama yang layak menerusi kemudahan pembiayaan dengan Maybank atau Maybank Islamic Berhad.

Kelayakan turut tertakluk kepada syarat penyelenggaraan berkala, keadaan kenderaan, had perbatuan dan terma lain yang ditetapkan oleh pihak Mitsubishi.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi bilik pameran rasmi Mitsubishi Motors Malaysia atau menghubungi penasihat jualan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here