
Mitsubishi Motors Malaysia mengumumkan pemenang peraduan Buy 1 Free 1 sempena pelancaran Mitsubishi Xforce.
Hadiah utama sebuah Mitsubishi Xforce Ultimate dimenangi Saidahtul Khairunnisa Martius, 39, dari Ipoh, Perak.
Tempat kedua dimenangi Nurhidayah Mokhtar yang membawa pulang iPhone 17 Pro Max, manakala tempat ketiga, Choong Ye Siew memenangi iPad Pro.
Saidahtul Khairunnisa berkata, dia tidak menyangka akan memenangi SUV tersebut.
“Ketika pertama kali tiba di bilik pameran, saya terkejut dan teruja kerana langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Memenangi sebuah Mitsubishi Xforce serba baharu adalah sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan,” katanya.

Menurutnya, Xforce menarik perhatiannya kerana reka bentuk bergaya dan selesa dipandu serta memberikan rasa selamat di jalan raya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata, pihaknya berharap Xforce menjadi teman yang boleh dipercayai buat pemilik kenderaan model itu.
Peraduan berkenaan dilancarkan sebagai sebahagian promosi Early Bird sempena pembukaan tempahan Xforce pada Februari 2026, yang menawarkan rebat tunai RM5,000 serta tiga kali percuma upah buruh dengan kos penyelenggaraan lima tahun hanya RM3,900.
Untuk pasaran Malaysia, Xforce ditawarkan dalam dua varian iaitu Urban berharga RM109,980 dan Ultimate RM119,980, harga atas jalan tidak termasuk insurans.
Model pemasangan tempatan di Pekan, Pahang itu dilengkapi enjin 1.5L NA DOHC MIVEC 4A91 berkuasa 105 PS dan tork 141 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT pacuan roda hadapan.
































