
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) mewah di bawah Kumpulan Geely, Zeekr membuktikan kekuatan komponen dalamannya menerusi satu ujian ketahanan melampau apabila trak seberat 20 tan menggilis kepingan busa tempat duduk MPV flagship Zeekr 009 (2026).
Menerusi satu hantaran video rasmi, kepingan busa tempat duduk berkenaan bukan sahaja dilanggar oleh sebuah trak berat Farizon Homtruck H, malah turut dilalui sembilan buah kenderaan penumpang jenama Zeekr terlebih dahulu.
Hasil ujian mendapati struktur fizikal kepingan busa itu kekal tidak berubah, manakala prestasi redaman getarannya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kemerosotan fungsi.
Rahsia Struktur ‘Sandwic’ Tiga Lapis

Menurut pegawai kejuruteraan Zeekr, ketahanan luar biasa itu disokong oleh struktur penggantungan tempat duduk berkonsepkan ‘sandwic’ yang menjadi perintis dalam industri automotif iaitu :
- Lapisan Atas : Busa berdaya tahan tinggi untuk keselesaan sentuhan asas
- Lapisan Tengah : Busa tindak balas pantas ketumpatan tinggi
- Lapisan Bawah : Busa lembut bagi menyerap getaran berfrekuensi rendah
Gabungan ketiga-tiga lapisan ini menghasilkan prestasi redaman getaran sehingga 1.5 kali ganda lebih cekap berbanding busa tempat duduk kereta konvensional.
Di dalam video tersebut, sekeping busa tempat duduk Zeekr 009 telah dilenyek oleh sembilan buah kereta penumpang jenama Zeekr bermula daripada crossover bandar Zeekr X seberat 1.9 tan sehingga MPV Zeekr 009 seberat 2.9 tan.
Model lain yang turut terlibat dalam ujian tersebut ialah Zeekr 007, Zeekr 7 GT, Zeekr 7X, Zeekr 001, Zeekr Mix, Zeekr 8X dan Zeekr 9X. Jumlah berat kesemua kenderaan ini adalah sekitar 20 tan.
Kemudian, trak berat Farizon Homtruck H seberat menyusul di belakang untuk melanggar kepingan busa tersebut.
Selepas itu, prestasi redaman getaran kepingan busa berkenaan diuji dan ia tidak menunjukkan sebarang tanda kemerosotan fungsi bahkan struktur fizikal busa itu juga kekal tidak berubah.
Tempat duduk Zeekr 009 dibaluti kulit Nappa dengan tawaran kerusi kapten di barisan kedua yang boleh dipusing 190 darjah dan menyokong mod graviti sifar. Ciri-ciri lain merangkumi perehat kaki kuasa elektrik, urutan 22-titik, serta fungsi pemanasan dan pengudaraan.
Zeekr 009 dijual pada harga antara CNY439,800 hingga CNY469,800 (RM276,000-RM295,000) di China. Menurut data China EV DataTracker, penghantaran MPV 009 mencecah 12,405 unit dari Januari hingga Ogos 2026.
































