
Geely dilapor akan mula memasang barisan kenderaan mewah di fasiliti milik Volvo Eropah bermula tahun 2028.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pengerusi baharu Geely Automobile, iaitu An Conghui dalam satu sidang yang berlangsung baru-baru ini.
Pengerusi baharu Geely itu menyebut kilang Volvo di Eropah akan menjadi asas penting bagi strategi lokal Geely.
Geely Automobile Holdings pada ketika ini mengawal jenama mewah seperti Zeekr dan juga Lynk & Co.
Antara model yang berpotensi besar untuk dipasang di kilang Eropah termasuklah model SUV Lynk & Co 900, serta crossover mewah Zeekr 8X dan 9X.
Pada ketika ini, Volvo mengendalikan dua kilang pemasangan kenderaan yang terletak di Sweden dan Belgium.
Sementara sebuah lagi kilang pemasangan kereta elektrik sedang dibina di Slovakia dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal 2027.
Sebelum ini, Geely dilapor membentuk kerjasama dengan Ford untuk menghasilkan kenderaan rendah dan sifar emisi di kilang Sepanyol.
Operasi kilang ini juga akan bermula awal 2027 dengan tiga model jenama Ford dirancang termasuklah SUV kompak Bronco dan sebuah SUV menggunakan asas platform Geely.
Dalam masa yang sama, dua kenderaan elektrik jenama Geely akan turut dipasang di kilang Ford tersebut.


































