
Geely Auto UK mendedahkan maklumat lanjut mengenai sistem rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) untuk SUV andalan baharu, Geely Monjaro EM-i Super Hybrid.
Untuk makluman, Monjaro yang dibangunkan menggunakan seni bina GEA Evo dan dikenali sebagai Xingyue L di China.
Nama Monjaro diinspirasikan daripada Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Afrika.
Menurut Geely, nama itu mencerminkan falsafah keseimbangan antara kuasa dan kawalan, cita-cita dan ketenangan.
Geely Monjaro vs Proton X90
Melihat kepada reka bentuk Monjaro, mungkin ada yang berminat dengan model ini atau mahukan pengganti kepada X70 yang sudah lama di pasaran.
Monjaro sebenarnya tampil lebih besar daripada X70 dan lebih mewah berbanding Proton X90.
Sebagai perbandingan, Geely Monjaro EM-i mempunyai jarak roda 2,845mm, iaitu 40mm lebih panjang berbanding X90 (2,805mm).
Bagaimanapun, panjang keseluruhannya 4,770mm lebih pendek 60mm berbanding X90 (4,830mm).
Dari segi lebar, kedua-dua model hampir setara dengan ukuran masing-masing 1,895mm dan 1,900mm.
Monjaro EM-i mempunyai ketinggian 1,689mm, iaitu lebih rendah berbanding X90 yang berukuran 1,764mm.
Monjaro UK
Geely Monjaro EM-i dibangunkan menggunakan seni bina GEA Evo dan akan ditawarkan dalam empat varian di pasaran United Kingdom (UK), iaitu Pro, Max, Ultra dan Hyper.
Varian Pro dan Max menggunakan pek bateri berkapasiti 30.7kWj bersama sistem pacuan roda hadapan (FWD).
Gabungan ini memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 137km dan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,136km.
Sementara itu, varian Ultra dan Hyper dilengkapi pek bateri lebih besar berkapasiti 40.1kWj bersama sistem pacuan semua roda (AWD) elektrik.
Jarak pemanduan elektrik meningkat sehingga 169km, manakala jarak pemanduan keseluruhan 1,109km.
Kuasa Sehingga 323PS, Pecutan 5.86 Saat
Sistem rangkaian kuasa Super Hybrid menghasilkan kuasa 251PS untuk varian FWD dan sehingga 323PS bagi varian AWD.
Varian AWD mampu memecut dari 0-62mph (0-100km/j) dalam masa hanya 5.86 saat.
Sistem intelligent electric all-wheel drive (e-AWD) yang diperkenalkan untuk pasaran UK menawarkan tindak balas dalam tempoh milisaat serta pengagihan tork secara tepat.
Sistem berkenaan sentiasa menyesuaikan operasi mengikut keadaan permukaan jalan dan dinamik kenderaan bagi memaksimumkan cengkaman, kestabilan serta kawalan.
Sistem AWD menggunakan motor segerak pada bahagian hadapan dan motor tidak segerak pada bahagian belakang.
Motor hadapan dioptimumkan untuk kecekapan ketika pemanduan harian, manakala motor belakang membekalkan kuasa dan cengkaman tambahan apabila diperlukan.
Pemandu boleh memilih sehingga enam mod pemanduan iaitu Pure, Hybrid, Power, Snow, Sand dan Off-Road mengikut keadaan jalan serta keperluan pemanduan.
Suspensi CCD Untuk Varian Hyper
Dari aspek pengendalian dan keselesaan, varian Hyper dilengkapi sistem suspensi Continuous Controlled Damping (CCD) dan sistem brek bersepadu Bosch OneBox.
Penyerap hentak dengan kadar redaman berubah itu mampu melaraskan tetapan suspensi dalam masa hanya 20 milisaat.
Pemandu juga boleh memilih tiga tetapan iaitu Comfort, Standard dan Sport.
Menurut Geely, berbanding model tanpa sistem CCD, teknologi ini meningkatkan kelancaran pemanduan sebanyak 33 peratus dan penapisan getaran sebanyak 19 peratus.
Impak ketika melalui bonggol jalan turut dikurangkan sebanyak 23 peratus.
Selain itu, teknologi Comfort Stop Technology (CST) mengawal tekanan brek secara pintar bagi mengurangkan olengan badan kenderaan ketika membrek sehingga 90 peratus.
Teknologi ini membantu menghasilkan nyahpecutan yang lebih lancar dan selesa untuk semua penumpang.
Geely Technology Europe turut menjalankan lebih 7,200 jam ujian pembangunan di lapan lokasi ujian.
Penilaian tersebut memberi tumpuan kepada kualiti pemanduan, ketepatan pengendalian dan keyakinan pemandu.
Pengecasan Pantas DC Sehingga 120kW
Keupayaan pengecasan berbeza mengikut varian. Pro dan Max menyokong pengecasan pantas DC sehingga 90kW, manakala Ultra dan Hyper menawarkan kadar lebih tinggi sehingga 120kW.
Kedua-dua pilihan bateri boleh dicas daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh serendah 16 minit dalam keadaan optimum.
Semua varian turut dilengkapi pengecasan AC 6.6kW untuk kegunaan di rumah atau tempat kerja.
Geely Monjaro EM-i juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dan Vehicle-to-Vehicle (V2V), dengan output kuasa luaran sehingga 6.6kW.
Kemudahan ini membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan, kelengkapan atau kenderaan elektrik lain.







