Utama Berita Automotif Geely dan Renault cipta enjin V8 hibrid 670hp

Geely dan Renault cipta enjin V8 hibrid 670hp

3

Syarikat usaha sama Geely dan Renault, iaitu Horse Powertrain secara rasmi mengumumkan pembangunan enjin hibrid V8 serba baharu berkuasa tinggi yang mampu menjana kuasa puncak mencecah 500kW (670hp).

Enjin berkapasiti 4.0 liter dengan nama kod Horse W40 itu dibangunkan khas bagi dipadankan dengan kotak gear hibrid dwi-klac 8-kelajuan dengan keupayaan tork maksimum sehingga 1,050 Nm.

Kereta sukan baharu keluaran pengeluar ikonik British, Lotus Type 135 disahkan bakal menjadi kenderaan pertama di dunia yang mengguna pakai sistem jana kuasa berprestasi ekstrem berkenaan.

Spesifikasi Rasmi Horse W40 & 8LDCT

  • Konfigurasi & Sesaran Enjin : V8 4.0 Liter Twin-Turbo (“Hot V” longitudinal)
  • Berat Enjin : 200 kg (Lebih ringan berbanding enjin V8 4.0L M177 Mercedes-Benz seberat 209 kg)
  • Output Enjin (ICE) : 500 kW (670 hp) & tork puncak 800 Nm
  • Transmisi Hibrid : Horse 8LDCT (8-kelajuan dwi-klac basah)
  • Kelajuan Tukaran Gear : Masa pra-isian klac <50 ms, tindak balas penukaran gear <20 ms
  • Kapasiti Tork, Transmisi : Sehingga 1,050Nm (Dilengkapi kawalan karbida silikon SiC & pam mekanikal boleh ubah)

Langkah tersebut merupakan satu pencapaian bersejarah bagi Horse Powertrain yang mana W40 merupakan enjin V8 pengeluaran pertama dibangunkan oleh entiti usaha sama berkenaan.

Sebelum ini, syarikat terbabit lebih dikenali menerusi penghasilan enjin empat silinder serta unit jarak lanjutan bersaiz kecil, sebelum mula mengorak langkah memperkenalkan enjin V6 3.0 liter pada Pameran Auto Beijing 2026, April lalu.

Direka khusus untuk susun atur membujur, enjin Horse W40 menampilkan sistem pengecas turbo berkembar yang diletakkan di bahagian atas terus di antara dua barisan silinder, konfigurasi yang digelar sebagai “hot V” bagi memendekkan laluan kemasukan udara dan meminimumkan turbo lag.

Lotus Tinggalkan Strategi EV, Sasar Supercar 1,000hp Menjelang 2028 

Gabungan enjin W40 dan transmisi 8LDCT pada Lotus Type 135 turut menandakan perubahan hala tuju strategik jenama asal Britain itu yang kini dilihat mula menjarakkan diri daripada pelan kenderaan elektrik (EV) untuk kembali memfokuskan penghasilan jentera hibrid berprestasi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Feng Qingfeng menegaskan gabungan teknologi rangkaian kuasa baharu itu bersama kepakaran kejuruteraan ringan Lotus bakal mencipta penanda aras baharu dalam segmen kereta berprestasi tinggi.

“Kami menyasarkan prestasi supercar generasi baharu, menggabungkan kuasa luar biasa, kecekapan, serta pengalaman pemanduan yang tepat dan mengujakan yang menjadi identiti sebenar Lotus,” katanya.

Lotus sebelum ini mengesahkan bahawa jentera sukan plug hibrid (PHEV) enjin tengah berkuasa V8 tersebut dijadualkan meluncur ke pasaran pada 2028, dengan sasaran output gabungan keseluruhan melebihi 1,000hp. 

Tambahan pula, model ini dijangka mengekalkan berat bersih di bawah 1.8 tan, selari dengan pendirian tegas Feng Qingfeng sebelum ini yang menyifatkan mana-mana kereta sukan seberat lebih 1.8 tan sebagai sekadar jentera yang “biasa-biasa sahaja”. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here